DHAKA: Perkhidmatan rangkaian kereta api di Bangladesh disambung semula pada Rabu, selepas pekerja menamatkan mogok tanpa had yang bermula sejak semalam.
Mogok yang bertujuan menuntut faedah kerja lebih masa bersama pencen itu, menyebabkan gangguan kepada penumpang dan perniagaan.
“Perkhidmatan kereta api di seluruh negara kembali normal selepas kakitangan Kereta Api Bangladesh menamatkan mogok mereka,” kata jurucakap Kementerian Kereta Api.
Mogok itu menjejaskan kira-kira 400 kereta api penumpang, termasuk lebih 100 perkhidmatan antara bandar, serta lebih 30 kereta api kargo.
Ribuan penumpang terkandas dan ramai terpaksa mencari pengangkutan alternatif, mendorong kepada kenaikan tambang akibat peningkatan permintaan terhadap pengangkutan jalan raya.
Pekerja, termasuk pemandu, pemeriksa tiket dan pengawal, enggan menjalankan tugas sebagai protes terhadap keputusan kerajaan menghapuskan faedah pencen bagi jam kerja lebih masa.
“Kami diberi jaminan oleh kerajaan bahawa faedah yang diterima sebelum ini akan dikekalkan,” kata pemimpin kesatuan, Mujibur Rahman kepada wartawan.
Disebabkan kekurangan kakitangan, pekerja secara tradisinya menerima bayaran tambahan bersama manfaat pencen yang akan dikira berdasarkan jam kerja lebih masa.
Namun, keputusan kontroversi kerajaan pada November 2021 menghapuskan manfaat pencen berdasarkan kerja lebih masa, menyebabkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pekerja yang menganggap keputusan tersebut mengancam keselamatan kewangan mereka selepas bersara.- AGENSI










