CAMERON HIGHLANDS: Pengusaha inap desa di kawasan pelancongan tanah tinggi di sini mengakui masih kurang menerima tempahan pengunjung sempena cuti persekolahan dan perayaan Tahun Baharu Cina, bulan ini.
Seorang pengusaha dari Tanah Rata, Norbiah Md. Usop, 43, berkata, inap desanya di Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di sini masih kosong sehingga cuti Tahun Baharu Cina minggu depan.
Katanya, kekurangan pengunjung menyebabkannya bersama pengusaha-pengusaha inap desa lain rungsing memikirkan bayaran bulanan rumah kepada pihak bank.
“Jika sebelum ini inap desa saya sentiasa penuh dan pengunjung membuat tempahan lebih awal sebelum cuti sekolah bermula, namun berbeza pada kali ini apabila saya tidak menerima sebarang tempahan.
“Mungkin faktor tanah runtuh dan cuaca yang tidak menentu sekarang menjadi punca kekurangan pengunjung bercuti ke kawasan tanah tinggi ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan, kedatangan pelancong ke kawasan tanah tinggi Cameron Highlands berkurangan pada musim cuti sekolah yang baru bermula, Sabtu lalu.
Norbiah menyangkal dakwaan mengatakan jumlah pengunjung berkurangan menginap di inap desa ekoran kenaikan harga yang dikenakan sempena cuti sekolah.
“Kalau nak kata harga mahal sebab cuti sekolah tak mungkin sebab kebanyakan pengusaha inap desa sini masih kekal dengan harga sebelum ini.
“Macam saya sendiri menetapkan harga RM200 semalaman untuk hari bekerja manakala RM250 untuk hujung minggu atau cuti sekolah. Harga ini masih kekal sejak lepas pandemik Covid 19 dan tidak pernah naik sehingga kini,” katanya.
Sementara itu, seorang pengusaha kedai makan yang hanya mahu dikenali sebagai Zul turut mengakui premis kedai makan di sekitar pekan Tanah Rata dan Brinchang sepi dan kurang menerima kehadiran pelancong.
Katanya, kawasan tumpuan pelancong seperti Brinchang dan Kea Farm juga dilihat lengang tanpa kehadiran pengunjung selain aliran trafik turut lancar apabila kurang kenderaan di jalan raya.
“Selain tanah runtuh, orang ramai khususnya ibu bapa mungkin berkira-kira untuk bercuti ke sini sebab perlu mengutamakan barangan keperluan untuk sesi persekolahan baharu anak-anak.
“Tambahan pula, belum tiba hari gaji jadi mungkin itu faktor kurangnya pengunjung ke Cameron Highlands. Apapun saya berharap menjelang Tahun Baharu Cina minggu hadapan kawasan tanah tinggi ini akan kembali meriah dipenuhi pengunjung,” ujarnya.