Penemuan mayat bawah tanah dedah kezaliman rejim Bashar

Penemuan mayat bawah tanah dedah kezaliman rejim Bashar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAMSYIK: Pasukan pertahanan awam Syria menemukan sekurang-kurangnya 26 mayat di dua ruang bawah tanah berasingan di luar bandar Damsyik, dipercayai mangsa kekejaman kerajaan Bashar al-Assad.

Penemuan terbaharu itu menambah lagi jumlah kubur besar yang digali sejak kejatuhan kerajaan Bashar pada Disember tahun lalu.

Mayat yang dipercayai termasuk lelaki, wanita dan kanak-kanak itu menunjukkan bukti kesan tembakan dan terbakar.

Kumpulan sukarelawan pertahanan awam, White Helmets Syria, menggali sisa rangka mayat dari ruang bawah tanah di bandar Sbeneh, barat daya Damsyik.

Sejak November, White Helmets menemukan lebih 780 mayat, kebanyakannya tidak diketahui identiti mereka, kata seorang anggota penyelamat, Abed Al-Rahman Mawwas kepada The Associated Press.

Kesemua mayat itu dipindahkan ke forensik untuk menentukan identiti, masa dan punca kematian, serta mengenal pasti waris mereka.

Seorang penduduk di satu bangunan berhampiran mayat ditemukan, Mohammad Al-Herafe berkata, bau busuk sangat menganggu ketika keluarganya kembali ke Sbeneh pada 2016, selepas melarikan diri akibat konflik yang bermula pada 2011.

Beliau berkata, mereka menemukan mayat tersebut di ruang bawah tanah, tetapi memilih untuk tidak melaporkannya kerana takut dikenakan tindakan oleh kerajaan.

Kerajaan Bashar yang memerintah Syria selama lebih dua dekad, menggunakan serangan udara terhadap kawasan awam, penyeksaan dan pelaksanaan hukuman mati untuk mengekalkan kawalan serta menindas kumpulan pembangkang semasa perang saudara selama 13 tahun.

Dalam laporan yang dikeluarkan pada Isnin lalu, Suruhanjaya Siasatan Syria Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, kubur besar boleh digunakan sebagai bukti untuk membongkar nasib ribuan tahanan yang hilang.

Laporan tersebut merangkumi 14 tahun penyiasatan dan berdasarkan lebih 2,000 keterangan saksi, termasuk 550 yang terselamat daripada penyeksaan.

Ia menjelaskan bagaimana tahanan di penjara terkenal Syria yang menderita kecederaan akibat diseksa, kekurangan zat makanan, penyakit dan jangkitan, dibiarkan mati perlahan-lahan dalam kesakitan atau dibawa untuk dilaksanakan hukuman mati.

Kejatuhan Bashar pada 8 Disember menyebabkan orang ramai menyerbu penjara dan rumah mayat dalam usaha mencari ahli keluarga mereka.

Walaupun ramai yang dibebaskan selepas bertahun dipenjara, ribuan masih hilang dengan nasib mereka tidak diketahui.– AP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN