Penduduk bersedia awal

Penduduk bersedia awal

HARUN Samsudin menunjukkan kawasan perumahan di Taman Aman yang dinaiki air banjir sejak semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Tidak mahu terus menanggung kerugian, penduduk di Taman Aman dan Taman Mawai lebih bersedia mendepani bencana banjir yang berlaku kali ini.

Seorang penduduk, Harun Samsudin, 65, berkata, dia yang sudah menetap di Taman Aman sejak 25 tahun lalu berkata, kebanyakan penduduk telah membuat persediaan banjir sejak Oktober lalu kerana kawasan itu akan berlaku banjir sama ada hujung atau awal tahun.

Pesara tentera itu berkata, hujan berterusan sejak pagi semalam menyebabkan air naik mendadak sejak pukul 7 malam sehingga mencecah paras dada.

“Setiap Oktober dan November kami sudah buat persiapan, barang akan disimpan di tempat tinggi, “ katanya ketika ditemui semalam.

Bagi Rozi Kasim, 40, dia yang baru dua bulan menetap di Taman Aman terkejut kerana air naik mendadak dalam tempoh satu jam pada pukul 7 petang.

“Saya dan isteri hanya selamatkan mana yang mampu dan ada juga yang tidak sempat diselamatkan seperti peti ais, mesin basuh kerana air naik dengan cepat. Saya dan isteri kemudian bermalam di rumah mentua, pagi ini baru kami berpindah ke PPS,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, jumlah mangsa banjir di negeri ini terus meningkatkan kepada 1,291 orang daripada 396 keluarga dan sebanyak 22 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka membabitkan empat daerah iaitu Kota Tinggi, Kulai, Pontian dan Kluang.

“Kota Tinggi daerah paling terjejas dengan seramai 1,088 penduduk daripada 346 keluarga ditempatkan di 13 PPS.

“Empat jalan di daerah tersebut ditutup sepenuhnya melibatkan Jalan Lok Heng/Mawai/Sungai Mas, Jalan Mawai Lama (rumah burung), Jalan Johor Bahru-Endau dan Jalan Kota Tinggi-Kluang. Tiada jalan alternatif disediakan,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri berkata, jalan Johor Bahru-Endau (Yatama City dan PS Tebrau), Kampung Lukut Cina- Kampung Batu Ampat (Taman Aman dan Kolam Ikan) dan Jalan Batu Pahat-Jemaluang hanya dibuka untuk kenderaan berat.

“Enam sungai di daerah ini pula berada di paras bahaya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN