Nasi lemak RM20 sepinggan di Cameron hanya di kedai tular

Nasi lemak RM20 sepinggan di Cameron hanya di kedai tular

PENGGUNA memilih pelbagai jenis sayur dan buah-buahan yang dijual di Cameron Highlands, Pahang. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAMERON HIGHLANDS: Isu harga makanan mahal seperti nasi lemak RM20 sepinggan di pusat peranginan tanah tinggi di sini, bukan melibatkan semua kedai makan sebaliknya hanya di kedai tular dalam media sosial.

Difahamkan, walaupun orang ramai sedia maklum perkara tersebut namun, tetap berkunjung ke kedai makan tular berkenaan untuk mencuba walaupun mengetahui harga makanan di situ mahal berbanding kedai atau gerai lain di sini.

Pemilik kedai makan yang ha­nya mahu dikenali sebagai Sa berkata, tidak adil jika hendak menyatakan semua kedai makan di pusat peranginan tanah tinggi ini menjual makanan dengan harga mahal sehingga RM20 sepinggan membabitkan nasi lemak ayam.

“Masih ada nasi lemak daun pisang RM3 sebungkus jika ditambah ayam goreng atau lauk lain seperti rendang daging.

“Kalau RM20 sepinggan nasi lemak itu hanya membabitkan kedai tular sahaja, gerai biasa harga biasa sahaja. Tapi orang tetap pergi kedai tular ber­kenaan untuk merasai makanan di situ,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Sementara itu, tinjauan mendapati, kenaikan harga bahan mentah nyata memberi memberi impak kepada harga makanan siap masak, seperti di restoran mahupun kedai makan viral di kawasan pelancongan tanah tinggi Cameron Highlands.

Hasil tinjauan juga mendapati, tidak hanya nasi lemak ayam berharga ‘kayangan’ sebaliknya makanan ringan popular di Ca­meron Highlands seperti scone dan kek juga semakin mahal.

Pengunjung dari Kuala Lumpur, Norazlinda Rafali, 38, ber­kata, dia bersama suami dan tiga anaknya meluangkan masa tiga hari dua malam sempena cuti persekolahan ke Cameron Highlands.

“Kali terakhir saya ke sini pada 2023 dan masa itu harga penginapan dan makanan masih berpatutan dan tidak terlalu mahal. Tetapi kali ini harga makanan berbeza dan saya kira agak mahal, seperti contoh nasi lemak ayam mencecah RM18 sepinggan di kedai viral.

“Walaupun begitu saya tidak kisah untuk berbelanja lebih sebab sudah tahu harga dan hendak mencuba makanan viral tersebut,” katanya.

Seorang lagi pengunjung dari Kuantan, Norhafizah Mohd. Esa, 40, berkata, dia bersama 18 ahli keluarga yang bercuti ke Cameron Highlands mengambil inisiatif memasak sendiri di inap desa yang disewa mereka.

“Saya juga peniaga kedai makan dan saya tahu harga barang mentah sekarang mahal, jadi peniaga tidak ada pilihan lain selain perlu menaikkan harga makanan yang dijual.

“Justeru bila tular dalam media sosial mengatakan makanan di kawasan pelancongan Cameron Highlands saya tidak terkejut. Jadi sebelum ke sini semua ahli keluarga saya bersepakat untuk memasak sahaja di inap desa bagi menjimatkan kos perbelanjaan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN