BEIJING: China hampir menggandakan jumlah mangsa cedera dalam gempa bumi di Tibet ketika pasukan penyelamat meneruskan pencarian mangsa hari ini, walaupun harapan semakin tipis.
Akhbar Global Times melaporkan, gempa berkekuatan 6.8 skala Richter mencederakan 337 orang, meningkat daripada anggaran awal 188 orang pada 7 Januari, manakala angka kematian kekal 126.
Setakat ini, masih belum jelas berapa mangsa yang masih hilang, tetapi pakar berkata, mereka terperangkap di bawah runtuhan berkemungkinan mati akibat hipotermia.
Suhu malam di kawasan itu mencecah antara -10 darjah Celsius hingga -15 darjah Celsius waktu ini, tidak termasuk faktor angin sejuk.
Lebih 1,600 gempa susulan menggegarkan zon bencana menjelang 10 Januari, menyukarkan usaha memindah lebih 47,000 mangsa ke tempat perlindungan sementara.
Gempa bumi itu, merupakan bencana paling teruk di Tibet dalam beberapa tahun, menimbulkan cabaran besar kepada pihak berkuasa untuk menyelamat mangsa, mencari mayat dan menyediakan tempat perlindungan kepada puluhan ribu penduduk.
Presiden China, Xi Jinping bertemu pegawai tertinggi parti pemerintah untuk mengkaji dan menyusun langkah bantuan bencana, menurut Xinhua.
“Usaha mesti digandakan untuk memastikan kemenangan dalam pertempuran sukar ini,” kata pemimpin tertinggi itu dalam satu kenyataan.
Pihak berkuasa juga perlu menyediakan penempatan jangka panjang kepada puluhan ribu mangsa yang kehilangan tempat tinggal, termasuk memastikan bekalan harian mencukupi.
Kerajaan menghantar 743,000 tan barangan seperti bijirin, minyak masak, daging dan sayuran ke kawasan tersebut, dengan Kementerian Perdagangan mengumumkan tambahan 2,000 tanah daging babi beku serta 1,600 tan daging lembu serta kambing.– REUTERS










