Malaysia-Jepun rintis kerjasama dalam sektor tenaga baharu

Malaysia-Jepun rintis kerjasama dalam sektor tenaga baharu

ANWAR Ibrahim menghadiri majlis perasmian Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Belia Malaysia Ke-73 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. – UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia dan Je­pun menjadikan sektor tenaga baharu melibatkan industri hidrogen sebagai bidang kerjasama antara kedua-dua negara.

Perkara itu dirintis melalui perbincangan dua hala antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Jepun, Shigeru Ishiba.

Perkembangan itu menjadikan Malaysia khususnya Sarawak sebagai hab tenaga baharu di rantau ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Anwar berkata, inisiatif terbaharu Kerajaan Sarawak membabitkan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) dengan kerjasama Petronas itu dan turut mendapat sokongan Ishiba.

“Premier Sarawak (Tan Sri Abang Johari Tun Openg) yang juga hadir hari ini memberikan jaminan tersebut. Dengan sokongan Perdana Menteri Jepun, kerjasama dalam teknologi baharu ini dan hidrogen diharapkan akan berjaya.

“Kami berharap untuk memudahkan pelaksanaan ini secepat mungkin agar dapat memenuhi tarikh akhir, mungkin pada bulan Mei ini apabila kami bertemu sama ada di Tokyo atau Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri Jepun, di sini semalam.

Terdahulu, Ishiba yang dalam lawatan pertamanya ke Malaysia diberi sambutan rasmi negara di Bangunan Perdana Putra disambut Anwar sekitar pukul 9.02 pagi sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Beliau kemudian memeriksa pasukan kawalan kehormatan terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota dari Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja diketuai Mejar Arifuddin Mohd Yusuf.

Majlis turut dihadiri isteri beliau, Yoshiko Ishiba dan isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Mengulas lanjut, Anwar ber­kata, menerusi pertemuan dua hala itu, beliau turut menyentuh inisiatif pembentukan grid kuasa ASEAN yang memerlukan penyertaan Jepun, selain negara-negara lain yang terlibat.

“Saya menyebut mengenai grid kuasa ASEAN dari Laos, Thailand, Malaysia dan Singapura, serta inisiatif kabel bawah laut Sarawak ke Semenanjung dan Singapura.

“Saya juga menyentuh mengenai unsur nadir bumi, di mana loji pemprosesan elemen nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) memerlukan penglibatan dari Jepun,” katanya.

Menurut Anwar, beliau dan Ishiba turut membincangkan keperluan untuk mengekalkan keamanan dan menyokong kod tingkah laku di Laut China Selatan, kerjasama Indo-Pasifik dan penyelesaian yang baik mengikut Five Point Consensus di Myanmar.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia menyokong inisiatif Jepun menganjurkan persidangan mengenai kerjasama antara negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) pada Julai ini.

Pada masa sama, Ishiba berkata, Jepun bersedia bekerjasama dan berkongsi pengalaman serta kepakaran mereka kepada Malaysia berkaitan isu bencana khususnya melibatkan banjir.

Katanya, ini kerana Malaysia sering terdedah kepada risiko dan kerosakan akibat bencana tersebut.

“Malaysia cenderung mengalami banjir dan kerosakan akibat banjir, jadi kami bersetuju untuk bekerjasama dengan memanfaatkan pengetahuan dan pengalaman Jepun dalam bidang pencegahan bencana,” katanya.

Dalam pada itu, bercakap di Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Belia Malaysia, Anwar berkata, tiada seorang Menteri Kerajaan Perpaduan terpalit skandal mencuri kontrak kerajaan sejak mengambil alih Putrajaya.

Kata Anwar, beliau tidak pernah bermain-main dalam memerangi penyelewengan dan ketirisan yang berlaku sebelum ini.

Katanya, beliau kekal bersungguh-sungguh dan tidak bertolak ansur dalam usaha memerangi gejala yang menjahanamkan negara itu.

“Nak kata saya berjaya sepenuhnya? Tidak, tetapi ini merupakan satu permulaan yang baik. Dua tahun saya menjadi Perdana Menteri, tidak ada skandal Menteri atau pimpinan yang mencuri kontrak (kerajaan).

“Semua keputusan termasuk di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui proses tender yang tepat dan ini merupakan sistem kita, sistem lalu mengizinkan perundingan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×