Malaysia akan hantar pulang rakyat Palestin

Malaysia akan hantar pulang rakyat Palestin

AHMAD Zahid Hamidi berucap dalam majlis penutup pemukiman Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) 2025 di Teluk Bahang, Balik Pulau, Pulau Pinang semalam. – UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Penghantaran pulang warga Palestin yang sebelum ini dibawa ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan akan dilakukan segera selepas gencatan senjata di Semenanjung Gaza dikuatkuasakan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penghantaran pulang itu akan diatur oleh Kementerian Luar dan Kementerian Pertahanan dalam tempoh gencatan senjata di Gaza berlangsung.

“Kita berharap dalam tempoh gencatan senjata ini (42 hari), penghantaran pulang pesakit-pesakit yang dibawa dari Gaza yang berada di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL) dapat dilakukan. Ia sedang di­atur (oleh dua kementerian ter­babit) untuk dihantar pulang.

“Perkara ini sudah dibincangkan dalam mesyuarat Ka­binet minggu lalu dan saya sendiri yang membawa perkara ini, dan kita tidak mahu adanya aksi-aksi demonstrasi di kem berkenaan,” katanya ditemui pemberita ketika hadir pada majlis penutup permukiman Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) 2025 di sini, semalam.

Pada 4 Ogos tahun lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan Malaysia merancang untuk menerima orang awam Palestin yang cedera bagi memboleh­kan mereka menerima rawatan di Malaysia.

Sehubungan itu, pada 16 Ogos, dua pesawat Airbus A-400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerbangkan 127 orang awam Palestin yang cedera dari Mesir ke Pangkalan Udara Subang TUDM.

Namun, berlaku beberapa insiden membabitkan rakyat negara itu yang didakwa cuba menimbulkan kekecohan selepas mereka dibawa ke WTKL, termasuk mendakwa mereka diberi layanan buruk.

Ahmad Zahid merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kerajaan juga sudah menerima permohonan maaf daripada Duta Besar Pa­lestin ke Malaysia, Walid Abu Ali yang menyesali insiden melibatkan rakyat Palestin di negara ini.

“Kita tahu mungkin mereka berada dalam keadaan tekanan. Mereka sudah lama berada di Malaysia dan telah menjalani rawatan, sehubungan itu mereka mohon untuk pulang.

“Jadi, tempoh sepanjang gencatan senjata ini adalah masa yang sesuai untuk menghantar mereka pulang dengan segera.

“Kerajaan Mesir akan turut membantu menguruskan pro­ses ini, dengan perincian lanjut diselaraskan oleh Kementerian Luar dan Kementerian Pertahanan,” katanya yang membe­ritahu, kesemua warga Palestin itu juga dalam keadaan sihat.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid memberitahu, kerajaan tidak bersikap ‘buta warna’ dalam melaksanakan program-program bagi memenuhi ke­perluan rakyat tanpa mengira latar belakang politik atau kaum, khususnya di kawasan luar bandar.

Katanya, program untuk rakyat terutamanya yang dijalankan oleh KKDW adalah secara menyeluruh.

“Kita mahu supaya semua pihak melihat kita sering mendepani dan menyantuni semua.

“Jadi, kita ‘buta warna’ dalam melaksanakan program-program ini untuk kebaikan semua,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, pembangunan luar bandar tidak hanya tertumpu kepada masyarakat Melayu, tetapi, turut merangkumi Sabah dan Sarawak yang menjadi fokus utama kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup rakyat di kawasan tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×