BEIJING: Seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun mengejutkan pasukan perubatan di sebuah hospital di China, apabila seekor lintah hidup sepanjang 12 sentimeter (cm) dikeluarkan daripada paru-parunya selepas mengalami batuk kronik.
Xiaoxiang, berasal dari kawasan pedalaman di China, pada mulanya dirawat di sebuah hospital lain selepas mengalami batuk berdarah dan kesukaran bernafas, sebelum dirujuk ke Jabatan Pediatrik di Hospital Rakyat Pu’er.
Ketika menjalani rawatan, Xiaoxiang secara tiba-tiba batuk kuat dan mengeluarkan objek ganjil dan ternyata ia adalah seekor lintah hidup sepanjang 12cm.
Doktor kemudian menjalankan prosedur bronkoskopi untuk memastikan tiada lagi serangga atau objek asing di dalam saluran pernafasan Xiaoxiang.
Pemeriksaan lanjut mengesahkan tiada penemuan lain yang menakutkan, namun lintah itu menyebabkan jangkitan serius pada paru-parunya.
Menurut laporan, lintah tersebut dipercayai berada di dalam paru-paru Xiaoxiang untuk tempoh yang agak lama, tumbuh besar dengan memanfaatkan persekitaran lembap yang kaya dengan oksigen dan darah.
Doktor turut melakukan pembersihan menyeluruh pada paru-paru Xiaoxiang dan membuang darah beku akibat jangkitan.
Jika lintah itu gagal dikeluarkan, ia boleh menyekat saluran pernafasan dan menyebabkan sesak nafas.
Difahamkan, keluarga Xiaoxiang sering meluangkan masa di sungai berhampiran kampung mereka dan lintah tersebut dipercayai masuk ke saluran pernafasan Xiaoxiang semasa dia tanpa sengaja menghidu telur atau larva ketika bermain di kawasan itu.
Walaupun kes itu dianggap mengejutkan, ia bukan penemuan paling luar biasa dalam dunia perubatan kerana tahun lalu, seorang lelaki di Vietnam memerlukan pembedahan kecemasan selepas doktor menemukan belut hidup sepanjang 65 sentimeter dan sebiji limau dalam tubuhnya.– AGENSI











