SEOUL: Kerajaan Korea Selatan melanjutkan penutupan Lapangan Terbang Antarabangsa Muan selama seminggu sehingga 14 Januari depan.
Lanjutan tempoh penutupan itu berikutan siasatan berterusan terhadap nahas pesawat Jeju Air yang mengorbankan 179 penumpang pada Disember lalu.
Lapangan terbang itu sepatutnya dibuka semula pada Selasa, ketika pasukan penyiasat bersama giat mempercepatkan siasatan terhadap kemalangan udara paling maut di Korea Selatan.
Dua penyiasat Korea berlepas ke Amerika Syarikat (AS) pada Isnin bersama dengan perakam data penerbangan untuk dianalisis oleh Lembaga Pengangkutan Kebangsaan AS.
Perakam data penerbangan, bersama perakam suara kokpit, adalah dua kotak hitam yang mengandungi maklumat penting mengenai nahas tersebut.
Minggu lalu, penyiasat menyusun transkrip lengkap daripada perakam suara kokpit yang ditemukan daripada serpihan pesawat Boeing 737-800.
Setakat ini, tidak pasti sama ada transkrip tersebut akan didedahkan.
Penyiasat juga mengambil dua enjin pesawat tersebut, dengan wakil daripada pembuat enjin GE turut menyertai siasatan.
Kementerian Pengangkutan melanjutkan pemeriksaan terhadap semua pesawat Boeing 737-800 yang dikendalikan oleh Jeju Air dan lima syarikat penerbangan lain di negara itu hingga 10 Januari, termasuk rekod penyelenggaraannya.– REUTERS










