Kawalan media sosial jadi perhatian negara Asia-Pasifik

Kawalan media sosial jadi perhatian negara Asia-Pasifik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan lebih 10 peratus remaja seluruh dunia terjejas akibat penggunaan media sosial.

Peningkatan penggunaan media sosial berlebihan di peringkat global menyebabkan masalah kesihatan mental dan fizikal dalam kalangan remaja.

Susulan itu, banyak negara Asia-Pasifik mula mengambil langkah untuk melindungi kanak-kanak daripada kesan negatif media sosial, termasuk sekatan terhadap kandungan seksual, keganasan serta maklumat palsu.

LARANGAN PERTAMA DUNIA DI AUSTRALIA

Australia menjadi negara pertama di dunia yang melarang akses media sosial untuk kanak-kanak bawah 16 tahun.

Pada 28 November lalu, Senat Australia meluluskan rang undang-undang yang melarang akses media sosial untuk golongan bawah umur itu dengan undian 34-19.

Rang undang-undang itu akan berkuat kuasa selepas setahun diberikan kepada syarikat media sosial untuk melaksanakan peraturan yang diperlukan.

Dalam tempoh setahun, platform media sosial perlu melaksanakan langkah sewajarnya untuk menyekat akses pengguna di bawah usia 16 tahun.

Platform global seperti Facebook, TikTok, Snapchat, Reddit, Instagram dan X, berisiko didenda sehingga AS$33 juta (RM148 juta) jika gagal mematuhi undang-undang tersebut.

NEW ZEALAND PANTAU PELAKSANAAN

Langkah Australia seolah-olah ‘membuka mata’ New Zealand yang kini memantau teliti perkembangan pelaksanaannya, walaupun tiada peraturan undang-undang wujud pada masa ini.

Perdana Menteri, Christopher Luxon berkata, pihaknya sedang memantau dengan teliti larangan media sosial yang dilaksanakan Australia.

Pemimpin pembangkang, Chris Hipkins turut menyatakan keterbukaan untuk negara mengambil pendekatan sama dan kesediaan menyokong langkah tersebut jika keberkesanannya terbukti.

Bagaimanapun, setakat ini tiada tindakan konkrit diambil mengenai isu itu di New Zealand.

INDONESIA PERLU TIGA TAHUN

Indonesia sedang mempertimbangkan untuk mengikut jejak Australia dalam mengehadkan penggunaan media sosial terhadap kanak-kanak.

Pegawai Kementerian Kesihatan, Imran Pambudi menyarankan kerajaan Indonesia untuk mempertimbang langkah sama, namun menegaskan perubahan tersebut tidak akan berlaku dalam masa terdekat.

Imran turut menekankan pada masa ini, ibu bapa wajar bertanggungjawab memantau penggunaan media sosial anak masing-masing.

Beliau menganggarkan pelaksanaan peraturan sedemikian mungkin mengambil masa sekurang-kurangnya tiga tahun.

LESEN OPERASI DI MALAYSIA

Sementara di Malaysia, kerajaan mengumumkan rancangan untuk rangka kerja perlesenan baharu bagi platform media sosial di negara itu.

Ogos lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menekankan bahawa syarikat media sosial mesti mematuhi undang-undang negara.

Mulai 1 Januari lalu, semua syarikat media sosial mesti memperoleh lesen daripada MCMC untuk beroperasi di Malaysia dan boleh berdepan tindakan undang-undang jika gagal berbuat demikian.

INDIA MAHU KEBENARAN IBU BAPA

Pada masa ini, India tidak mempunyai peraturan sekatan umur untuk akses media sosial.

Namun, di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi Digital 2023, golongan di bawah umur 18 tahun mesti memperoleh kebenaran ibu bapa yang disahkan untuk pemprosesan data peribadi mereka.

Keperluan itu tidak mengehadkan akses media sosial untuk kanak-kanak.

Kerajaan India juga sedang mempertimbangkan langkah untuk menangani penyebaran maklumat palsu di media sosial.

KOREA SELATAN PERTIMBANG LARANGAN

Korea Selatan juga tidak mempunyai sekatan undang-undang terhadap akses kanak-kanak kepada media sosial.

Bagaimanapun, kerajaan sedang mempertimbangkan bagi memperkenal larangan yang mungkin menetapkan had umur 14 atau 16 tahun untuk akses akaun media sosial.

JEPUN KEKANG BERITA PALSU

Jepun sedang membincangkan langkah untuk menangani berita palsu di media sosial dan mengekang fitnah terhadap individu serta organisasi melalui akaun tanpa nama.

Pada Mei lalu, pindaan undang-undang yang diluluskan Parlimen Jepun mewajibkan platform media sosial mewujudkan prosedur telus bagi menarik keluar kandungan fitnah dalam talian.

Platform juga diwajibkan untuk segera bertindak balas terhadap tuduhan fitnah dalam talian.

Sebagai sebahagian daripada semakan undang-undang, syarikat media sosial mesti mewujudkan saluran hubungan untuk menangani permintaan pengalihan keluar kandungan dan mentakrifkan kriteria untuk mengeluarkan hantaran.

BANGLADESH SEKAT AKSES

Walaupun tiada undang-undang di Bangladesh yang melarang kanak-kanak menggunakan platform media sosial, kerajaan berusaha menghubungi syarikat media sosial bagi mencegah penyebaran maklumat palsu dan kandungan keganasan.

Ogos lalu, Bangladesh menutup rangkaian internet mudah alih untuk menyekat akses ke platform media sosial popular seperti Instagram, WhatsApp dan YouTube.

Kerajaan mengumumkan keputusan untuk menyekat akses itu sebagai tindak balas terhadap usaha memerangi berita palsu, mendakwa syarikat sosial tidak mematuhi undang-undang Bangladesh semasa protes ganas.

Bagaimanapun, larangan itu dibatalkan selepas pengunduran Perdana Menteri, Sheikh Hasina pada 5 Ogos dan penubuhan kerajaan sementara.– ANADOLU

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN