PETALING JAYA: Gejala buli dalam sektor kesihatan di negara bukan sahaja melibatkan doktor pelatih, malah turut membabitkan golongan jururawat yang dianggap berstatus lebih rendah berbanding profesion pegawai perubatan.
Walaupun gejala itu kurang mendapat perhatian namun ia wujud termasuk melibatkan doktor pakar yang berjawatan lebih tinggi.
Mendedahkan perkara itu, bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, amalan buli dalam sektor kesihatan sebenarnya sudah lama berlaku dan ia tidak hanya melibatkan golongan doktor pelatih.
Katanya, berdasarkan pengalamannya bertugas di sektor kesihatan, golongan jururawat juga kerap menjadi mangsa buli melibatkan pegawai perubatan berjawatan tinggi.
“Biasanya jururawat dibuli oleh doktor kerana mereka menganggap profesi jururawat itu lebih rendah statusnya berbanding pegawai perubatan. Ia adalah tradisi lama yang sepatutnya sudah tidak lagi diamalkan.
“Tiada sesiapa yang layak untuk dibuli oleh mana-mana pihak, tidak kira sama ada doktor, jururawat, pekerja pembersihan malah pengawal keselamatan sekali pun.
“Budaya tidak sihat ini mesti diperbetulkan dalam sektor kesihatan kita, ia adalah pemikiran kuno yang tidak perlu diteruskan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dr. Boon Chye berkata, langkah terbaik untuk Kementerian Kesihatan menangani isu buli terhadap doktor pelatih mahu pun jururawat adalah dengan mengambil tindakan secepat mungkin apabila menerima laporan berhubung gejala tersebut.
Katanya, garis panduan untuk menangani gejala tidak sihat itu sebenarnya sudah pun ada namun pelaksanaannya yang mengakibatkan kes buli terus berleluasa.
“Apabila kes buli dilaporkan, siasatan dan tindakan mesti cepat, jangan tunggu tiga hingga enam bulan tetapi akhirnya tidak ada keputusan dan tindakan diambil.
“Saya percaya gejala buli ini masih berlaku, tetapi mangsa takut untuk ke hadapan kerana pada akhirnya tiada tindakan diambil,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Jururawat Lelaki Malaysia, Muhammad Julihan Kamari berkata, gejala buli membabitkan jururawat ada berlaku namun hanya membabitkan lisan.
Katanya, ia kerap berlaku membabitkan doktor pakar yang lebih senior dengan memarahi jururawat di depan khalayak ramai atau pun pesakit.
“Jururawat sering dipersalahkan jika timbul satu-satu isu tanpa doktor ini mencari tahu puncanya. Kadang-kadang sehingga ditengking di khalayak ramai atau depan pesakit.
“Bagaimanapun, gejala buli yang kerap berlaku terhadap jururawat hanyalah melibatkan lisan sahaja, jarang sehingga membabitkan fizikal,” katanya.
Bagaimanapun, menurut beliau, sejak diperkenalkan Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), gejala buli membabitkan golongan jururawat semakin berkurangan dalam lima tahun kebelakangan ini.
“Aduan melalui SISPAA dibuat secara dalam talian itu memberikan kelebihan kepada kami untuk membuat sebarang laporan salah laku termasuk gejala buli di tempat kerja,” katanya.
Presiden Kesatuan Jururawat Malaya (MNU), Saaidah Athman berkata, beliau tidak menolak kemungkinan gejala buli membabitkan jururawat wujud, namun menyifatkan kes tersebut sebagai terpencil.
Bagaimanapun, katanya, isu itu tidak boleh dipandang remeh kerana jururawat dan doktor bekerja sebagai satu pasukan di sektor kesihatan.
“Kita ada 12 cawangan di seluruh negara namun tidak ada menerima aduan yang serius setakat ini. Jika ia berlaku, terus laporkan kepada kami supaya tindakan selanjutnya boleh diambil,” katanya. – UTUSAN










