Malaysia-Indonesia kongsi kepakaran pertahanan

Malaysia-Indonesia kongsi kepakaran pertahanan

indonesia
YANG di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima kunjungan hormat Presiden Indonesia, Prabowo Subianto di Dewan Seri Maharaja, Istana Negara dengan diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam. – JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia boleh mempelajari dan meningkatkan kerjasama dengan Indonesia dalam bidang pertahanan memandangkan negara itu mempunyai banyak pengalaman dalam sektor berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perlu ada kesediaan dari pihak Malaysia untuk melihat apa yang boleh diperoleh dari Indonesia, selain dari negara lain.

Anwar berkata, tidak hanya melalui pertahanan, kedua-dua negara juga komited meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang lain.

“Malaysia dan Indonesia mempunyai sejarah yang sangat dekat. Bukan sahaja, kita juga berkongsi bahasa dan budaya yang serumpun, selain persempadanan juga sama.

“Oleh itu, kita harus tingkatkan hubungan baik ini ke bidang lain seperti ekonomi, perdagangan, pelaburan. Tidak juga dilupakan dalam bidang pendidikan, kajian, teknologi makanan, industri hiliran dan tenaga.

“Kedua-dua negara sudah bersetuju untuk memanfaatkan kekuatan yang ada, termasuk dalam bidang pertahanan kerana Indonesia mempunyai banyak pengalaman dan kekuatan dalam sektor berkenaan.

“Malaysia perlu bersedia untuk melihat dan belajar apa yang diperolehi dari Indonesia dan perkara itu lebih penting berbanding kita memperolehnya atau membeli (mendapatkan nasihat) daripada negara lain,” katanya.

Anwar berkata demikian dalam sidang akhbar bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, di sini semalam.

Prabowo tiba di Malaysia bagi memulakan lawatan negara atas jemputan Yang di-Pertuan Agong.

Kunjuangan ini ialah lawatan negara yang pertama oleh seorang ketua negara asing ke Malaysia sejak Sultan Ibrahim menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Presiden Indonesia itu diberikan sambutan negara penuh istiadat di Istana Negara dan menerima Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (D.K.1) dari Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Dalam pada itu, Anwar memaklumkan, usaha kesepakatan itu hanya akan berlaku dengan adanya persefahaman, keyakinan dan kepercayaan dalam kalangan kepimpinan dan pasukan.

Beliau berkata, kedua-dua negara turut komited memastikan kerjasama antara syarikat gergasi minyak kedua-dua negara, Petroliam Nasional Berhad (Petronas dan Pertamina untuk meneroka aliran baharu dalam bidang perniagaan.

“Jadi, hal itu hanya akan berlaku jika ada kesefahaman, keyakinan dan kepercayaan dalam kalangan pimpinan serta pasukan kedua-dua kami.

“Saya ucap terima kasih dan beri arahan jelas kepada rakan-rakan menteri serta jabatan terkait, selain sektor swasta untuk pastikan apa yang kita sepakati dimeterai secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, Prabowo mengucapkan terima kasih kepada sambutan terhormat yang diterima beliau bersama delegasi Indonesia.

Katanya, hubungan rapat antara Malaysia dengan Indonesia tidak akan boleh dilakukan de­ngan mana-mana negara lain.

“Saya diberikan sambutan negara di Istana Negara yang penuh istiadat. Saya berpeluang berjumpa dengan Sultan Ibrahim dan ingin saya kongsi, hubungan saya dengan kerabat diraja Johor sudah lama terjalin iaitu selama puluhan tahun.

“Jadi, apabila saya dikurniakan dengan Darjah Kerabat Johor, saya amat terharu dan bersyukur. Bukan semua pemimpin berpeluang menerimanya.

“Hubungan baik itu menunjukkan tiada batasan antara kerabat diraja dengan orang kebanyakan seperti saya,” katanya.

Prabowo juga memberitahu, Indonesia bersedia membantu atau menjalin kerjasama dengan Malaysia, termasuk dalam urusan pertahanan.

Beliau berkata, perkongsian kepakaran antara kedua-dua negara membuka ruang untuk mewujudkan kerjasama yang lebih menyeluruh.

Dalam pada itu, Prabowo sekali lagi mengulangi pendiriannya menyokong Palestin dan berharap gencatan senjata yang dilaksanakan kali ini berkekalan.

“Penyelesaian dua negara masih menjadi kaedah terbaik dalam mengakhiri konflik antara Israel dengan Palestin dan sokongan Indonesia untuk memperjuangkan kemerdekaan Palestin tidak pernah berakhir,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN