THE HAGUE: Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengambil langkah sewajarnya untuk melindungi kakitangan daripada kemungkinan sekatan Amerika Syarikat (AS).
Ini termasuk membayar gaji tiga bulan lebih awal kepada kakitangan, sebagai persediaan menghadapi sekatan kewangan yang boleh menjejaskan operasi tribunal jenayah perang tersebut.
Menurut sumber, langkah tersebut diambil selepas Dewan Perwakilan AS mengundi bulan ini untuk mengenakan tindakan ke atas ICC, berikutan pengeluaran waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan berhubung jenayah perangnya di Gaza.
Sekatan yang dicadangkan oleh AS akan mensasarkan mana-mana individu asing yang menyiasat, menangkap, menahan atau mendakwa warganegara AS atau negara sekutunya yang bukan ahli Mahkamah tersebut, termasuk Israel.
Walaupun butiran terperinci mengenai skop sekatan dan sasaran masih belum jelas, sumber yang enggan dikenali itu memberitahu Reuters mahkamah kini bersiap sedia untuk menghadapi kesan kewangan yang besar.
Satu sumber mendakwa, langkah penyimpanan bukti diambil berikutan kebimbangan syarikat teknologi AS, Microsoft, mungkin terpaksa menghentikan kerjasama dengan Mahkamah.
Dalam satu kenyataan kepada Reuters, ICC berkata ia tidak akan mengulas mengenai sebarang langkah dalaman yang mungkin telah diambil untuk melindungi organisasi dan kakitangannya.
Para penyokong rang undang-undang tersebut menyatakan mereka mahu undian dijalankan secepat mungkin, yang mungkin akan berlaku minggu depan, tetapi anggota Parlimen AS kini sibuk mengesahkan pelantikan pegawai untuk pentadbiran Presiden AS yang baru, Donald Trump.
Ini akan menjadi kali kedua Mahkamah berhadapan dengan tindakan balas AS berikutan kerjanya selepas pentadbiran Trump yang pertama pada tahun 2020, Washington telah mengenakan sekatan terhadap pendakwa ketika itu, Fatou Bensouda, dan seorang pembantunya, berhubung siasatan ICC terhadap dakwaan jenayah perang oleh tentera Amerika di Afghanistan.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa, yang terdiri daripada 125 anggota, adalah sebuah mahkamah tetap yang boleh mendakwa individu atas tuduhan jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan, genosid dan jenayah pencerobohan terhadap wilayah negara anggota atau oleh rakyat mereka.
Amerika Syarikat, China, Rusia, dan Israel bukan ahli Mahkamah ini.
Pada bulan Disember, Presiden ICC, Hakim Tomoko Akane, memberi amaran sekatan ini akan ‘mengancam operasi mahkamah dalam semua situasi dan kes, dan membahayakan kewujudannya’. -AGENSI










