IPOH: Luluh hati seorang bapa apabila terpaksa menerima hakikat dia kehilangan dua anak kesayangan serentak dalam kemalangan jalan raya di persimpangan lampu isyarat Jalan Pasir Puteh, di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 10.35 pagi itu, Nur Amira Balqis Armi, 22, dan adik lelakinya, Tsa Muhammad Armirul, 15, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Menurut Armi Mustafa, 56, kejadian berlaku ketika anak sulungnya itu mahu menghantar adiknya yang bersekolah sesi petang di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Sam Tet sebelum ke tempat kerja di pasar raya berhampiran.
Katanya, sudah menjadi rutin Nur Amira menghantar adiknya ke sekolah berikutan laluan ke tempat kerja sama selain terletak di lokasi berdekatan.
“Hanya mereka berdua sahaja anak yang saya ada dan hubungan dua beradik ini sangat rapat.
“Apa pun, saya perlu tabah dan reda dengan apa yang berlaku hari ini,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini semalam.
Menurut Armi yang bertugas sebagai pembantu makmal di sebuah sekolah menengah di sini, dia mengetahui kejadian menimpa dua beradik itu sekitar pukul 10.30 pagi selepas dihubungi polis yang memintanya datang segera ke lokasi kejadian.
Katanya, ketika itu dia berharap tiada kejadian buruk menimpa dua anak kesayangannya dan mereka berdua cuma cedera dalam kemalangan tersebut.
“Sampai di lokasi, saya tergamam melihat jasad kedua-dua mereka telah pun dimasukkan ke dalam beg polis.
“Anak-anak saya tidak menunjukkan sebarang perangai pelik dan berkeadaan seperti biasa. Walaupun jarak usia antara mereka jauh, tapi hubungan dua beradik ini rapat kerana hanya mereka sahaja adik-beradik yang ada selepas kematian ibu ketika Muhammad Armirul berusia lapan bulan,” katanya.
Armi berkata, jenazah dua beradik itu akan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Changkat Belengkor, Batu Gajah.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kemalangan dipercayai berpunca daripada kegagalan pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire mematuhi lampu isyarat. – UTUSAN









