PETALING JAYA: Kementerian Kerja Raya (KKR) akan terus melaksanakan Op Bersepadu selama enam hari bermula hari ini hingga 2 Februari sebagai langkah membantu kelancaran perjalanan pengguna jalan raya sempena perayaan Tahun Baru Cina.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, bagi meminimumkan risiko kemalangan jalan raya, KKR akan mewartakan penurunan had laju daripada 90 kilometer sejam (km/j) kepada 80km/j di semua Jalan Persekutuan sepanjang tempoh enam hari tersebut.
“Kerja-kerja pembinaan dan penyenggaraan jalan yang tidak kritikal akan dihentikan sementara agar tidak mengganggu aliran trafik sepanjang tempoh tersebut. Kerja-kerja kecemasan yang perlu disegerakan demi keselamatan pengguna akan dirancang dengan sebaiknya.
“Sekiranya perlu, laluan alternatif akan disediakan agar tidak mengganggu perjalanan pengguna ke destinasi yang dituju.
“Bagi memastikan kelancaran lebuh raya, pada 16 Januari lalu, saya telah mengeluarkan arahan kepada syarikat projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) untuk menghentikan sementara kerja pelebaran lorong di jajaran Sedenak-Kulai bermula 23 Januari hingga 3 Februari ini,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, Op Bersepadu dilaksanakan secara bersama melibatkan agensi-agensi penguat kuasa seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
Alexander berkata, semua pengguna jalan raya bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan diri dan penumpang serta keselamatan dan keselesaan pengguna yang lain.
“Anggap lah pengguna jalan raya lain sebagai ahli keluarga kita atau ahli keluarga besar Malaysia Madani,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan juga mengumumkan diskaun 50 peratus bagi kadar tol biasa sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2025.
Alexander berkata, keputusan itu diambil selepas kabinet sebulat suara meneruskan bantuan tol bagi musim perayaan seperti sebelumnya.
Katanya, pelaksanaan berlangsung selama dua hari bermula 27 Januari (Isnin) pada pukul 12.01 malam sehingga 28 Januari (Selasa), 11.59 malam.
“Keputusan memberikan diskaun adalah bagi kenderaan persendirian Kelas 1 di semua plaza tol kecuali plaza tol di sempadan negara,” katanya.










