GAZA: Kerajaan Gaza mengumumkan rancangan untuk memudahkan pemindahan penduduk dari bahagian tengah dan selatan ke kediaman mereka di Bandar Gaza serta utara wilayah itu.
Ketua Pengarah Pejabat Media Gaza, Ismail al-Thawabteh berkata, rancangan itu akan diumumkan dalam tempoh dua hari lagi, bersama arahan serta garis panduan harian untuk membantu pemindahan semula penduduk Palestin secara teratur, selari dengan perjanjian gencatan senjata.
“Penduduk diminta mematuhi protokol kerajaan dan menggunakan laluan pantai Al-Rasheed di barat Gaza demi keselamatan mereka dan keluarga,” katanya kepada agensi berita Anadolu.
Menurut data Pejabat Media Gaza, lebih dua juta penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal akibat perang Israel.
Mereka terpaksa berteduh di sekolah, khemah dan di jalanan dalam keadaan serba kekurangan, termasuk bekalan makanan, air bersih serta risiko penularan penyakit.
Pada Rabu, Qatar mengumumkan perjanjian gencatan senjata bagi menamatkan konflik selama lebih 15 bulan di Gaza, yang mengorbankan hampir 46,800 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, manakala lebih 110,000 lagi cedera sejak 7 Oktober 2023.
Perjanjian tiga fasa yang akan berkuat kuasa Ahad ini merangkumi pertukaran tahanan dan usaha mencapai gencatan senjata kekal, termasuk pengunduran tentera Israel dari Gaza.
Fasa pertama perjanjian itu menyaksikan 33 tahanan Israel akan dibebaskan sebagai pertukaran bagi sejumlah tahanan Palestin.
Serangan Israel ke atas Gaza setakat ini menyebabkan lebih 11,000 penduduk hilang dan mencetuskan krisis kemanusiaan yang teruk, dengan ramai warga emas dan kanak-kanak menjadi mangsa dalam apa yang dianggap salah satu bencana kemanusiaan terburuk dunia.
November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant, atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel turut berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) susulan tindakan ketenteraannya di wilayah berkenaan. -AGENSI











