MANILA: Filipina mengumumkan penangguhan tinjauan saintifik di Laut China Selatan, selepas kapal perikanannya menghadapi ‘gangguan’ dan tingkah laku agresif daripada pengawal pantai serta tentera laut China, semalam.
Manila dan Beijing mengalami beberapa siri konfrontasi di perairan Laut China Selatan yang menjadi pertikaian.
China menuntut hampir semua laluan air strategik sebagai wilayahnya, melibatkan perdagangan bernilai AS$3 trilion (RM13 trilion) setiap tahun, yang turut bertindih dengan tuntutan Filipina, Indonesia, Malaysia dan Vietnam.
Pengawal Pantai Filipina dalam kenyataan semalam berkata, dua kapal perikanan yang dalam perjalanan untuk mengumpul sampel pasir dari Sandy Cay berhampiran pulau Thitu, menghadapi ‘tindakan agresif’ daripada tiga kapal Pengawal Pantai China.
China turut menghantar empat bot kecil dari kapal pengawal pantai untuk ‘mengganggu’ dua bot tempur Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) yang dikerahkan oleh biro perikanan untuk mengangkut kakitangan ke Sandy Cay, kata Pengawal Pantai Filipina yang menyokong misi saintifik itu.
Sebuah helikopter tentera laut China juga berlegar pada ketinggian tidak selamat di atas kapal tersebut, katanya.
Kenyataan itu berkata, operasi tinjauan digantung akibat gangguan berterusan dan sikap tidak mengendahkan keselamatan yang ditunjukkan oleh pasukan maritim China.
Sementara itu, Pengawal Pantai China dalam kenyataannya pula menegaskan, Beijing mempunyai ‘kedaulatan yang tidak boleh dipertikaikan’ ke atas Kepulauan Spratly termasuk Sandy Cay, yang digelar sebagai Terumbu Tiexian.
China mendakwa, mereka memintas dua kapal Filipina serta mengusirnya mengikut undang-undang.
Katanya, kapal Filipina memasuki perairan berhampiran Terumbu Tiexian tanpa kebenaran dan cuba mendarat secara haram di kawasan tersebut untuk mengumpul sampel pasir.
Semasa rundingan pada 16 Januari lalu, Manila dan Beijing bersetuju untuk mencari titik persamaan dan menjalin kerjasama walaupun terdapat perselisihan mengenai tuntutan di perairan Laut China Selatan.
Tribunal timbang tara antarabangsa memutuskan pada 2016 bahawa dakwaan China, berdasarkan peta bersejarahnya, tidak mempunyai asas di bawah undang-undang antarabangsa, keputusan yang ditolak oleh Beijing.- AGENSI










