KUALA LUMPUR: Enam pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang ditahan dipercayai terlibat dengan sindiket penyeludupan dan pengelakan cukai membabitkan rokok elektronik (vape) akan ditukar ke bahagian lain sehingga siasatan selesai.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd. Zainudin berkata, pihaknya sedang mendapatkan pengesahan nama pegawai daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan akan disusuli dengan pertukaran.
Menurutnya, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan semua agensi termasuk SPRM dan tidak akan berkompromi.
“Nasihat saya, berkhidmatlah dengan penuh ikhlas, cekap, tangkas dan berintegriti.
“Sebagai agensi pemungut hasil negara, setiap warga JKDM bertanggungjawab melaksanakan amanah penuh berintegriti,” katanya ketika dihubungi semalam.
Katanya, jauhkan diri daripada perkara-perkara yang melanggar undang-undang negara dan mencemar nama baik jabatan ini.
Media sebelum ini melaporkan SPRM membongkar sindiket penyeludupan dan pengelakan cukai membabitkan rokok elektronik (vape) dengan ketirisan mencecah hampir RM8 juta.
Ia selepas SPRM menahan dua lori mencurigakan ketika keluar dari Pusat Pemeriksaan Kargo KLIA.
Hasil pemeriksaan menemukan 32,000 unit rokok elektronik bernilai RM1.9 juta tidak diikrar dalam lori berkenaan.
Serentak itu, serbuan secara besar-besaran dilakukan di dua gudang penyimpanan syarikat-syarikat berkenaan.
Susulan itu enam pegawai kastam dan lapan orang awam termasuk enam pengarah syarikat ditahan. – UTUSAN










