PETALING JAYA: Kadar elaun on-call bulanan pegawai perubatan perlu ditetapkan menyamai gaji minimum rakyat Malaysia iaitu RM1,700 sebulan.
Bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, kadar elaun on-call RM9.16 sejam sekarang tidak lagi munasabah dengan beban kerja ditanggung pegawai perubatan masa kini, selain peningkatan kos hidup.
Katanya, secara prinsip, elaun bulanan doktor on-call yang aktif iaitu perlu berada di hospital perlulah sekurang-kurangnya setara dengan gaji minimum rakyat Malaysia.
“Di dalam sektor kesihatan kita, ada dua jenis on-call iaitu yang perlu berada di hospital (aktif) dan bersiap sedia di rumah (pasif).
“Isunya adalah elaun doktor on-call aktif yang perlu ke hospital kadarnya sekarang lebih rendah daripada gaji minimum. Ini tidak munasabah dan perlu dikaji semula,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan Kementerian Kesihatan akan mengkaji semula elaun bertugas on-call doktor yang tidak pernah disemak sejak 12 tahun lalu.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, isu berkenaan antara perkara yang akan dibincangkan jawatankuasa khas yang dipengerusikan Tan Sri Abu Bakar Suleiman termasuk pelaksanaan sistem jadual bekerja berlainan.
Katanya, usaha menambah baik kadar elaun on-call RM9.16 sejam sekarang sudah dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
“Perdana Menteri dan Amir Hamzah berpandangan perkara ini (elaun on-call) digarap bersama dalam penyelesaian jadual bekerja berlainan nanti,” katanya.
Dalam pada itu, Boon Chye berkata, sepatutnya elaun on-call doktor yang terpaksa bertugas di hospital seboleh-bolehnya perlu setimpal dengan tangga gaji mereka.
“Alasan yang menyatakan kakitangan peringkat pengurusan tidak layak untuk elaun on-call tidak boleh dijadikan isu kerana tugasan on-call adalah penting dan ‘labour intensive’ yang tidak boleh diuruskan dengan arahan semata-mata,” katanya.
Beliau berkata, prinsip kadar keseluruhan elaun on-call doktor aktif perlu menyamai gaji minimum rakyat Malaysia adalah sebagai asas kepada Kementerian Kesihatan (KKM)untuk dijadikan rujukan dalam mengkaji semula elaun tersebut.
“Ia terpulang kepada KKM bagaimana menentukannya kerana kementerian juga perlu mengambil kira peningkatan perbelanjaan mereka memandangkan kos hidup ketika ini semakin meningkat.
“Doktor juga sama seperti golongan masyarakat lain yang perlu berbelanja dan mempunyai komitmen masing-masing,” katanya.










