CAMERON HIGHLANDS: Kedatangan pelancong ke kawasan tanah tinggi Cameron Highlands berkurangan pada musim cuti sekolah yang baru bermula, Sabtu lalu.
Tinjauan mendapati, lokasi tumpuan pelancong seperti di Kea Farm tidak berlaku kesesakan trafik seperti yang berlaku setiap hujung minggu atau cuti panjang.
Malah, walaupun pada hujung minggu, keadaan trafik di sini bergerak lancar seperti hari biasa, tiada kesesakan trafik yang kerap menjadi rungutan pengunjung.
Bagi peniaga, keadaan itu agak pelik kerana mereka menjangkakan kedatangan pelancong pada jumlah yang tinggi sempena hari minggu dan cuti sekolah namun keadaan sebaliknya.
Pengarah Urusan Hotel Rosa Passadena Cameron Highlands, Datuk Yee Shan Kon mengakui kedatangan pelancong berkurangan ketika ini walaupun cuti sekolah sudah bermula.
Menurutnya, keadaan itu disebabkan beberapa faktor antaranya mungkin ramai yang menunggu untuk bercuti panjang pada Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.
Beliau berkata, mungkin ramai yang menangguhkan percutian sehingga Tahun Baharu Cina kerana pada masa itu lebih sesuai untuk mereka sekeluarga bercuti panjang.
“Ya, sekarang memang jumlah pelancong ke sini tak begitu ramai walaupun cuti sekolah sudah pun bermula. Saya rasa ini mungkin disebabkan Tahun Baharu Cina sudah hampir, jadi ramai yang mahu bercuti pada sambutan perayaan itu nanti.
“Selain itu, ibu bapa juga masih belum sedia untuk bercuti kerana anak-anak mereka menduduki peperiksaan SPM. Ini antara faktor yang mungkin menyebabkan masih ramai yang belum bersedia untuk bercuti panjang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Shan Kon juga percaya, kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands baru-baru ini juga menyebabkan pelancong masih bimbang untuk datang ke sini.
Selain itu, banjir yang melanda beberapa negeri baru-baru ini menyebabkan ramai yang mendahulukan keperluan harian berbanding bercuti selepas bencana melanda.
“Saya percaya pelancong akan kembali ke sini, mungkin semasa cuti Tahun Baharu Cina nanti, Cameron Highlands akan kembali dipenuhi pelancong,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach), A Dilip Martin berkata, kekurangan pelancong mungkin disebabkan ramai yang takut-takut kerana menyangka masih berlaku tanah runtuh di sini.
Katanya, ini disebabkan maklumat tidak tepat mengenai kejadian tanah runtuh yang disebarkan dalam media sosial.
“Ramai yang bercakap mengenai kejadian tanah runtuh di sini dalam media sosial tetapi banyak maklumat yang disampaikan itu tidak benar. Memang ada berlaku kejadian tanah runtuh tetapi hanya kejadian kecil.
“Saya berharap orang ramai mendapatkan maklumat yang tepat mengenai apa jua keadaan di sini. Pihak berkuasa berusaha sedaya upaya untuk memastikan keadaan di sini selamat untuk semua,” katanya. – UTUSAN









