Bertahun tunggu zuriat jumpa bayi depan rumah

Bertahun tunggu zuriat jumpa bayi depan rumah

KEADAAN bayi cukup sifat yang ditemukan di hadapan sebuah rumah sekitar Jalan Kampung Rama, Kuala Sanglang, Perlis, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seorang penjaga setor mengakui cukup sayu saat me­nemukan seorang bayi perempuan dalam keadaan cukup sifat yang ditinggalkan di gerai makan di hadapan rumahnya di Kampung Rama, Kuala Sanglang, di sini.

Mohamad Hasnol Jeffri, 43, dan isterinya, Siti Mariam Abdullah, 37, juga terkesan dengan penemuan bayi itu memandang­kan mereka telah menantikan kehadiran cahaya mata sejak lebih 10 tahun.

Katanya lagi, ketika mene­mukan bayi itu, badannya terketar-ketar kerana begitu sedih dengan tindakan pihak yang membuang anak kecil tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bertahun saya dan isteri menanti zuriat tetapi tidak sangka pula ada orang yang sanggup dan tergamak membuang bayi,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Utusan Malaysia melaporkan, seorang bayi perempuan cukup sifat ditemukan di hadapan sebuah rumah di Jalan Kampung Rama, Kuala Sanglang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifud­din Mohd. Yusop berkata, pi­haknya menerima laporan ber­hubung penemuan bayi berkenaan menerusi seorang lelaki sekitar pukul 8.35 pagi.

Kata Yusharifuddin, buat masa ini, tiada sebarang tangkapan dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat untuk membuang bayi.

Mohamad Hasnol sementara itu berkata, sebelum kejadian, dia dan isteri telah keluar rumah untuk mencari sarapan sekitar pukul 8 pagi sebelum tiba-tiba terdengar bunyi tangisan bayi dari arah gerai makan berkenaan.

“Pada mulanya kami ingat bunyi tangisan itu adalah bayi dari rumah jiran namun lama-kelamaan ia semakin kuat dan kami terus memeriksa gerai tersebut.

“Kami amat terkejut apabila menemukan bayi yang masih bertali pusat di dalam beg yang ditinggalkan bersama kain pelikat dan dua helai tuala,” katanya.

Susulan itu, Mohamad Hasnol berkata, dia memaklumkan penemuan itu kepada jirannya yang kemudian membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil.

Katanya, bayi itu juga tidak mengalami sebarang kecedera­an dan telah dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) bagi menjalani pemeriksaan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini