KANGAR: Bentuk muka bumi, tanah runtuh dan laluan tikus, antara cabaran dihadapi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam mengawasi sempadan negeri ini daripada penyeludupan dadah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis negeri, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, keadaan itu menyukarkan pihak penguatkuasaan bergerak secara pantas dan mengenal pasti laluan itu.
Bagaimanapun katanya, meskipun berhadapan kekangan tersebut, kawalan berterusan tetap dijalankan bagi memastikan sempadan negara tidak bolos.
“Buat masa ini, terdapat 40 unit kamera litar tertutup (CCTV) dikendalikan oleh PGA dan PDRM di sepanjang sempadan negeri bagi melakukan pemantauan keselamatan,” katanya.
Beliau berkata, selain laluan tikus, sindiket penyeludupan dadah juga semakin ‘berani’ membawa masuk barang terlarang itu menggunakan laluan sah dengan menyediakan ruangan khas pada kenderaan untuk menyembunyikan barangan berkenaan.
Katanya, sindiket lazimnya mengubah suai kenderaan dan menggunakan laluan sah di pintu sempadan Wang Kelian dan Padang Besar.
Selain itu, mereka juga akan berkomunikasi sesama ahli sindiket menggunakan walkie-talkie atau alat komunikasi jarak dekat di dalam hutan bagi memaklumkan pergerakan pihak berkuasa sekali gus mengelak daripada dikesan.
“Sindiket penyeludupan dadah akan melakukan pelbagai taktik dan teknik bagi memastikan kegiatan mereka tidak dapat dikesan pihak berkuasa. Bagaimanapun tindakan tersebut berjaya dihidu dan dipatahkan pihak berkuasa yang giat menjalankan pemantauan serta penguatkuasaan di sempadan,” katanya.
Muhammad memberitahu, dari 2022 hingga 2024, lebih 3,000 kilogram dadah pelbagai jenis berjaya dirampas selain rampasan ketum mencecah sehingga 124,011,560.8 kilogram (kg).
Katanya, rampasan tersebut membabitkan dadah jenis heroin (9.9 kg), syabu (2,433.49 kg) dan ganja (828.9 kilogram). – UTUSAN










