Bekas datuk bandar luluskan projek diseleweng pegawai tertinggi stesen penyiaran Sarawak? - Utusan Malaysia

Bekas datuk bandar luluskan projek diseleweng pegawai tertinggi stesen penyiaran Sarawak?

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Datuk Bandar yang ditahan dalam Op Ragada bersama tiga individu dipercayai bertanggungjawab meluluskan projek diselewengkan pegawai pengurusan tertinggi sebuah stesen penyiaran di Sarawak.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, tangkapan terhadap dua wanita masing-masing bekas pengurus besar dan pengarah syarikat serta lelaki terbabit dibuat kerana disyaki menerima perolehan haram hasil penyelewengan.

“Bekas Datuk Bandar adalah pegawai tertinggi syarikat penyiaran yang meluluskan projek dan kita masih menyiasat sekiranya suspek mengambil imbuhan seperti tiga suspek lain.

“Bagaimanapun, kita telah membebaskan bekas Datuk Bandar dan seorang bekas pengurus besar dengan jaminan polis manakala pihaknya akan meneliti untuk sambung reman terhadap dua lagi individu selepas tempoh reman mereka tamat hari ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan polis menahan empat suspek dengan kesemuanya berumur 53 hingga 71 tahun di Kuching, Sarawak sertas merampas 32 dokumen di sebuah syarikat di Kuching bagi membantu siasatan kes pengubahan wang.

Sementara itu, Razarudin berkata, pegawai pengurusan tertinggi ditahan bersama isteri dan anaknya serta seorang lagi individu pada 10 Januari lalu sudah dibebaskan dengan jaminan polis.

“Kertas siasatan terhadap mereka akan dilengkapkan untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya,” ujarnya.

Sebelum ini, Razarudin mendedahkan siasatan polis mendapati modus operandi mereka adalah menjalankan aktiviti jenayah pengubahan wang haram melalui transaksi kewangan yang mencurigakan dan kesalahan pecah amanah jenayah, tipu tender dan menganugerahkan tender kepada diri sendiri atau ahli keluarga.

Beliau dilaporkan berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Seksyen 4(1) Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN