PETALING JAYA: Pemberian Baucar Buku Madani kepada guru-guru dijangka membantu meningkatkan kemahiran pendidik dan menggalakkan industri penerbitan buku tempatan.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Fouzi Singon berkata, inisiatif itu membeli peluang kepada golongan itu mendapatkan bahan bacaan untuk menambah ilmu dan kemahiran pilihan mereka.
“Kami amat bersyukur dengan inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mencadangkan perluasan pemberian Baucar Buku Madani ini kepada guru-guru.
“Baucar buku ini pasti memberi motivasi kepada guru untuk memperkaya kemahiran mereka, sekali gus membantu meningkatkan ilmu dalam kalangan pelajar,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Semalam, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mahu pemberian Baucar Buku Madani diperluaskan kepada warga pendidik, khususnya guru sekolah, dalam masa terdekat susulan kejayaan program itu kepada pelajar sepanjang tahun lalu apabila ia mencatatkan 100 peratus penebusan termasuk di kawasan luar bandar.
Mengulas lanjut, Fouzi berkata, selain membantu guru, pemberian baucar buku itu juga dijangka merancakkan lagi industri penerbitan dan penulisan buku di Malaysia.
Menurutnya, langkah tersebut akan memacu lebih banyak penghasilan karya yang relevan dan memenuhi keperluan pelbagai pihak.
“Apabila Baucar Buku Madani ini diperluaskan, tentunya penerbit dan penulis akan lebih berdaya saing untuk menghasilkan karya yang bermanfaat untuk semua lapisan masyarakat,” katanya. – UTUSAN










