PETALING JAYA: Seramai 8,000 orang dipindahkan selepas banjir di Sabah dan Sarawak semalam semakin buruk yang turut menyaksikan lima mangsa terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit, Miri.
Mereka yang maut Sazarena Arabi, 41; Fatimah Dawi, 71; dua kanak-kanak perempuan, Nur Raisyah Syahirah, 8, serta Nur Rania Syafiqah, 11, dan remaja lelaki, Irsyad Syairah, 16.
Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) berkata, keadaan banjir semakin membimbangkan apabila mangsa meningkat sekali ganda daripada yang direkodkan kelmarin.
sehingga memaksa penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Katanya, jumlah mangsa banjir di Sarawak meningkat mendadak setakat pukul 3 petang semalam dengan seramai 5,106 orang daripada 1,416 keluarga dipindahkan ke 42 PPS yang dibuka.
Antara kawasan terlibat adalah Kuching (Kuching dan Bau), Samarahan (Samarahan, Sebuyau dan Simunjan), Serian (Serian dan Siburan), Sibu (Kanowit dan Selangau), Bintulu (Bintulu dan Tatau) dan Miri (Miri dan Subis).
Daerah Serian mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 1,632 orang daripada 492 keluarga ditempatkan di 18 PPS. Bintulu pula mencatatkan seramai 1,260 mangsa daripada 328 keluarga yang berlindung di tiga PPS.
Bagi Sabah, jumlah terkini mangsa yang terjejas adalah 3,550 daripada 1,232 keluarga yang dipindahkan ke 25 PPS terdekat.
Daerah yang terbabit banjir adalah Kota Marudu, Kota Belud, Telupid, Pitas, Beluran, Lahad Datu, Sandakan, Beaufort, Tongod dan Paitan.
Daerah Kota Marudu mencatatkan jumlah mangsa tertinggi, dengan 2,360 orang daripada 866 keluarga ditempatkan di lapan PPS. Telupid pula mencatatkan seramai 203 mangsa daripada 48 keluarga yang berlindung di dua PPS.
Mengenai kejadian tanah runtuh kira-kira pukul 2.30 pagi kelmarin, pihak Bomba dan Penyelamat Miri berkata, ia berpunca daripada hujan lebat berterusan sejak dua hari lalu itu mengakibatkan dua buah rumah terjejas iaitu Lot 287A dan Lot 287B, yang menempatkan 12 penghuni keseluruhan.
Komander Operasi, Penguasa Kanan Bomba (PgKB II) Rafie Sapar berkata, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mengambil masa hampir 16 jam sebelum menemukan semua mangsa yang tertimbus dalam kejadian itu.
“Operasi SAR dimulakan seawal pukul 2.58 pagi semalam dan menemukan mangsa terakhir pada pukul 6.26 petang.
“Usaha membawa keluar mangsa mengambil masa hampir 20 minit sebelum dia disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Kerajaan Sarawak menyalurkan bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa yang terkorban.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menzahirkan simpati kepada semua mangsa yang terjejas setelah menerima perkhabaran situasi banjir yang semakin buruk di Sabah dan Sarawak.
“Semoga semua mangsa yang terkesan diberi kesabaran dan ketabahan sepanjang tempoh musibah ini melanda,” katanya.
Mengulas mengenai situasi banjir, Anwar mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memperkemas penyelarasan seluruh kekuatan jentera agensi persekutuan dan negeri bagi menghadapi bencana banjir.
Katanya, keutamaan saat ini adalah kebajikan mangsa banjir serta keselamatan penduduk di kawasan terkesan.
Beliau berkata, skuad Ihsan Madani akan turun membantu mangsa banjir di pusat pemindahan sementara serta bersiap siaga bagi penugasan pasca banjir.
“Saya juga mengarahkan NADMA memperkemas penyelarasan seluruh kekuatan jentera agensi persekutuan dan negeri.
“Jabatan Pendidikan Negeri turut diarah mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas dapat menjalani peperiksaan dengan selamat dan kondusif,” katanya kenyataan semalam. – UTUSAN










