BANDA ACEH: Kerajaan tempatan Aceh melarang penduduknya mengadakan sambutan Tahun Baharu 2025, termasuk sebarang bentuk perayaan yang bertentangan dengan syariat Islam dan adatnya.
Pemangku Datuk Bandar Banda Aceh, Almuniza Kamal berkata, masyarakat dilarang mengadakan sambutan sama ada di kawasan terbuka atau tertutup, termasuk pesta bunga api, mercun, tiupan trompet, lumba haram dan aktiviti hiburan lain yang bercanggah dengan nilai agama.
“Larangan ini bertujuan mencegah aktiviti yang boleh mencetuskan perkumpulan. Ia disepakati melalui seruan bersama Forum Koordinasi Pimpinan Daerah (Forkopimda) Banda Aceh,” katanya kelmarin.
Selain itu, peniaga juga dilarang menjual mercun, bunga api, trompet dan barangan berkaitan bagi memastikan arahan itu dipatuhi.
Almuniza turut menggesa masyarakat untuk mengekalkan perpaduan, keharmonian beragama serta memelihara keamanan dan kepentingan awam.
“Kita perlu meningkatkan kesedaran dalam menegakkan syariat Islam dan menjauhi perbuatan yang melanggar peraturan atau qanun.
“Marilah kita saling menghormati dan membantu demi kesejahteraan masyarakat,” ujarnya.
Sebelum ini, Majelis Permusyawaratan Ulama (MPU) Aceh telah mengeluarkan saranan serupa yang menyatakan sambutan Tahun Baharu Masihi bukan sebahagian daripada hari kebesaran Islam.
Sebagai alternatif, umat Islam digalakkan mengadakan aktiviti keagamaan seperti zikir, wirid, doa, membaca al-Quran, atau mendengar ceramah agama, sama ada secara berjemaah mahupun bersendirian.
MPU Aceh turut mengingatkan masyarakat untuk menghindari perbuatan seperti meniup trompet, menyalakan lilin, atau mengadakan pesta bunga api dan dilarang menyertai acara atau ritual agama lain, termasuk menggunakan atributnya.
Bagaimanapun, masyarakat diminta supaya terus memupuk semangat toleransi dan saling menghormati dalam hubungan antara agama, sejajar dengan nilai syariat Islam yang mengutamakan keharmonian sejagat. – AGENSI










