KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menyelesaikan masalah dihadapi oleh ekosistem pengeluaran beras putih tempatan (BPT) bagi memastikan masalah yang timbul dapat dinoktahkan dan tidak membebankan rakyat.
Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Nur Asyikin Aminuddin berkata, usaha untuk menurunkan harga beras import melalui perbincangan dengan kerajaan India hanya merupakan penyelesaian jangka pendek.
Ini kerana, menurut beliau, harga beras import itu akan kembali naik apabila India menghadapi masalah pengeluaran dan inflasi pada masa akan datang.
“Seperti kita sedar, terdapat pelbagai isu global dan dibimbangi boleh memberi kesan kepada negara pengeksport lalu sekali gus menjejaskan kita juga. Jadi kita perlukan penyelesaian untuk jangka panjang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, Malaysia berjaya melakukan rundingan dengan kerajaan India dalam usaha menurunkan harga beras import dari negara itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rundingan itu dibuat sebagai alternatif berikutan kekurangan bekalan beras tempatan yang dihadapi negara ketika ini.
Penasihat Pertubuhan Gandingan Gerakan Pengguna Malaysia (PGGPM), Dr. Lee Nan Sang berkata, rundingan mengenai beras import itu tidak mengambil kira nasib pesawah tempatan yang berdepan masalah kerugian.
“Saya rasa perkara tersebut adalah kurang tepat, apa yang sebenarnya perlu dilakukan oleh kerajaan adalah memberi bantuan kepada pesawah dengan menyelesaikan masalah dihadapi bagi memastikan pengeluaran dapat ditingkatkan,” jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, pelbagai musibah yang melanda industri padi negara menyebabkan pesawah kehilangan motivasi untuk meneruskan penanaman padi kerana kerugian yang besar.
Jelasnya, terdapat pesawah yang belum memperoleh hasil dan keuntungan daripada tanaman padi walaupun sudah akhir tahun.
“Ada pesawah yang padinya tiga ke empat kali tenggelam disebabkan banjir. Jadi motivasi mereka sudah semakin turun,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan perlu menyelaraskan harga belian padi, benih dan beras bagi memastikan masalah yang melanda bekalan BPT dapat segera diselesaikan.
“Apabila ketiga-tiga harga tersebut tidak seimbang maka ia akan mempengaruhi harga lantai padi dan BPT. Dahulu harga padi RM1,200, harga benih pula RM28 dan harga beras adalah RM2.60 per kg, ketika itu keadaan tersebut adalah ideal serta relevan.
“Sekarang ini, walaupun harga lantai dinaikkan sedikit kepada RM1,300 tetapi harga benih melambung hingga RM60 dan harga beras pula kekal sama. Ini kami lihat memang tidak seimbang.
“PeSAWAH yakin tidak ada lagi pasaran untuk jualan BPT kerana kenaikan kos ini tidak menunjukkan trend penurunan walaupun terdapat penurunan harga beras dunia dan pengukuhan mata wang kita pun tidak membantu,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Rashid berkata, tidak wajar untuk pesawah menanggung kerugian yang tinggi untuk membolehkan pengguna menikmati bekalan BPT yang murah.
“Kita tidak mahu membebankan rakyat tetapi ini adalah realitinya dan rakyat perlu tahu bahawa harga perlu naik untuk menjaga pelbagai pihak lagi,” ujarnya. – UTUSAN










