Pindaan Akta 588 perangi pedofilia, pornografi – Fahmi

Pindaan Akta 588 perangi pedofilia, pornografi – Fahmi

FAHMI Fadzil bersama penerima bantuan pada program Jelajah Peduli Ummah Lembah Pantai di IWK Eco Park, Pantai Dalam, semalam. – UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pindaan terbaru terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) membawa perubahan besar kepada negara ini khususnya dalam usaha menangani kesalahan berkaitan pedofilia dan penjualan pornografi dalam talian.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pindaan melibatkan 51 muka surat itu merupakan langkah signifikan selepas 26 tahun akta tersebut dikuatkuasakan.

“Dua perkara penting yang diperkenalkan ialah menjadikan pedofilia dan penjualan pornografi dalam talian sebagai kesa­lahan boleh tangkap (seizable offenses).

“Ini memastikan pihak berkuasa dapat bertindak lebih tegas terhadap penjenayah yang memusnahkan masa depan kanak-kanak,” katanya dalam sidang akhbar selepas program Jelajah Peduli Ummah Lembah Pantai di sini, semalam.

Minggu lalu, Rang Undang-Undang Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 dibentangkan di Dewan Rakyat menggariskan cadangan peruntukan hukuman penjara tidak lebih tempoh lima tahun atau denda RM500,000 atau kedua-duanya, bagi kesalahan yang dilakukan terhadap kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah.

Rang undang-undang bagi meminda Akta 588 itu dibentang Fahmi untuk bacaan kali pertama yang turut memaklumkan bacaan kali kedua pada sesi sidang sama.

Mengulas lanjut, Fahmi menjelaskan bahawa pindaan turut memperincikan definisi kesalahan dalam Seksyen 233, termasuk menggantikan istilah ‘jelek’ dengan ‘jelek melampau’.

Langkah itu bertujuan melindungi kebebasan bersuara rakyat Malaysia tanpa menjejaskan ketertiban undang-undang.

“Huraian yang dimasukkan kali ini akan membantu pihak kehakiman, pendakwaan, dan pembelaan mentafsir undang-undang dengan lebih jelas,” katanya.

Dalam isu kawalan umur pengguna media sosial, Fahmi menegaskan Malaysia tidak bercadang untuk memperkenalkan undang-undang baharu seperti negara lain.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×