KANGAR: Perlis bakal memperkenalkan Perlisku Bestari Anjung Madinah iaitu inisiatif progresif berasaskan model Madinah al-Munawwarah yang menekankan keadilan dan inklusiviti sosial.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, inisiatif tersebut juga memberi penekanan kepada prinsip Islam yang menyeluruh dalam tadbir urus selain merangkumi semua aspek termasuk pembangunan melalui model itu.
Selain itu, katanya, ia juga memupuk perpaduan kaum dan agama berlandaskan semangat persaudaraan dan toleransi.
“Sebagai langkah proaktif bagi menjayakan inisiatif ini, kerajaan negeri akan melancarkan projek rintis bagi menjalinkan hubungan yang lebih dekat dengan bandaraya Madinah.
“Antara inisiatif strategik ialah mewujudkan program pertukaran pendidikan dan kebudayaan Perlis-Madinah yang
menghubungkan institusi pendidikan, pusat kebudayaan dan komuniti antara kedua-dua tempat berkenaan.
“Program ini merangkumi kerjasama universiti untuk penyelidikan bersama, pertukaran pelajar, serta latihan kepimpinan Islam.
“Inisiatif ini bukan sahaja memperkayakan pengetahuan dan kefahaman antara dua komuniti tetapi juga menyemarakkan nilai-nilai Islam yang inklusif sambil membina rangkaian antarabangsa yang kukuh,” katanya membentangkan Belanjawan Perlis 2025 dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Sementara itu, Mohd. Shukri berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM 7.84 juta bagi pemberian bantuan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang bakal memberi manfaat kepada lebih 2,600 penerima.
Katanya, ia membabitkan keluarga atau individu tidak berkemampuan, ibu tunggal, pesakit, orang kurang upaya (OKU), tanggungan banduan, individu terbiar atau diabaikan, warga emas, kanak-kanak dan pesakit kronik serta OKU terlantar.
“Selain itu, bermula tahun 2024, atas keprihatian kerajaan negeri terhadap golongan yang memerlukan, kadar bantuan
sedia ada di bawah JKM juga dinaikkan.
“Kerajaan negeri memperuntukan sebanyak RM6.68 juta untuk tujuan tersebut membabitkan kadar bantuan am daripada RM200 kepada RM400 sebulan,” katanya.-UTUSAN