Percepatkan usaha ubah suai SK Temai

Percepatkan usaha ubah suai SK Temai

KEADAAN Sekolah Kebangsaan Temai yang masih digenangi banjir termenung ekoran musim tengkujuh ketika ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Bukan sekali, tetapi setiap tahun antara tiga hingga empat kali Sekolah Kebangsaan (SK) Temai di sini, digenangi ‘air termenung’ terutama ketika musim tengkujuh sehingga menenggelamkan aras bawah sekolah tersebut.

Faktor bentuk muka bumi rendah difahamkan menyebabkan ‘air termenung’ mudah berlaku di sekolah itu dan mengambil masa lama untuk surut sepenuhnya.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Temai, Midun Tan berkata, setiap tahun air berwarna coklat kehitaman bertakung dalam dan luar kawasan sekolah.

Kejadian itu bukan disebabkan limpahan air Sungai Pahang sebaliknya air paya gambut yang melimpah ke kawasan sekolah.

“Hampir seluruh kawasan sekolah ditenggelami air paras buku lali tetapi di tempat lebih rendah, paras air lebih dalam hingga masuk ke kelas di paras bawah,” katanya.

PIBG SK Temai berharap pihak berwajib khususnya kerajaan pusat segera menaik taraf sekolah itu bagi memastikan banjir tidak berulang.

“Kami penat, bukan sekali, tetapi tiga ke empat kali setahun sekolah digenangi ‘air termenung’, dan setiap kali banjir kena gotong-royong bersihkan sekolah.

“Saya pernah cadangkan tutup kelas bawah dan bina jambatan terus ke kelas tingkat satu, jika banjir, sekolah tetap boleh beroperasi seperti biasa sepertimana konsep Masjid Jamek Mukim Temai di sini.

“Saya harap kerajaan ambil serius cadangan ini, sampai bila sekolah kena berdepan situasi ‘air termenung’ dan menyusahkan pelbagai pihak khususnya guru dan murid di sekolah ini. Proses pengajaran dan pembe­lajaran pun terganggu,” katanya.

SK Temai digenangi ‘air termenung’ selama empat hari sehingga 6 Disember lalu, ekoran gelombang pertama banjir yang memaksa 135 muridnya belajar di pusat pemindahan sementara (PPS) Temai Hulu.

Pada gelombang kedua bermula Isnin lalu, murid sekolah berkenaan menjalani sesi pe­ngajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN