KAMPALA: Penyakit misteri baharu yang pelik sedang melanda beberapa kawasan di Uganda, menyebabkan ramai mengalami demam menggigil.
Lebih daripada 300 orang dilaporkan jatuh sakit akibat virus aneh, yang dikenali sebagai Dinga Dinga oleh penduduk tempatan di daerah Bundibugyo, Uganda.
Gejala termasuk demam dan mengigil badan yang teruk, menjejaskan lebih ramai wanita berbanding lelaki, lapor Punjab News Express.
Setakat ini, tiada kematian dilaporkan dan penyakit ini sedang dirawat dengan penggunaan antibiotik, kata pegawai kesihatan daerah, Dr. Kiyita Christopher.
“Tiada bukti saintifik bahawa ubat herba dapat merawat penyakit ini. Kami menggunakan rawatan khusus dan pesakit biasanya pulih dalam masa seminggu.
“Saya menasihatkan penduduk tempatan untuk mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan daerah,” katanya.
Beliau berkata, wabak itu hanya terhad kepada kawasan tersebut dan tiada kes sama dilaporkan di luar Bundibugyo.
Sampel sudah dihantar kepada Kementerian Kesihatan Uganda, namun belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan mengenai penyakit itu.
Ia adalah penyakit misteri terbaharu melanda negara Afrika, dengan Republik Demokratik Congo turut bergelut dengan penyakit tidak diketahui, yang menyebabkan demam, sakit kepala, batuk, hidung berair dan sakit badan.
Sejak akhir Oktober, sekitar 400 kes penyakit misteri direkodkan, kebanyakan melibatkan kanak-kanak lima tahun ke bawah, di zon kesihatan Panzi di wilayah Kwango.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) merekodkan sekurang-kurangnya 71 kematian setakat ini, dengan kes kekurangan zat makanan memburukkan lagi krisis tersebut.– AGENSI










