JERANTUT: Seorang peniaga mengambil inisiatif memasang 53 buah tong bagi mengapungkan kedai kopi miliknya sebagai persediaan menghadapi banjir di Kampung Bantal, Ulu Tembeling di sini.
Peniaga tersebut, Norhidayat Nahari, 49, berkata, inisiatif itu menyelamatkan kedai dan peralatan dalam kejadian banjir yang dua kali berlaku di dataran perniagaan di situ pada 26 dan 28 November lalu.
“Air Sungai Tembeling naik mendadak sebelah petang sehingga peniaga tergesa-gesa memindahkan barang dan peralatan berniaga ke tempat tinggi, tetapi mujurlah semua peralatan niaga kami selamat dengan bantuan tong plastik yang mengapungkan kedai,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Norhidayat berkata, sebelum banjir, bapa mentuanya sudah memasang 53 buah tong berkenaan dan dia cuma memeriksa semula sekiranya peralatan itu rosak dan bocor di bahagian bawah lantai kedai kopi.
“Saya cuma memastikan tong ini berfungsi dengan baik ketika banjir di samping menambat kedai kopi ini dengan kemas di sebatang pokok besar berdekatan sungai ini,” katanya.
Menurutnya, dia yang berniaga nasi lemak, kuih-muih dan minuman bersama isterinya, Norzihan Apran, 47, tidak bimbang sekiranya air Sungai Tembeling naik mendadak dan apabila banjir, kedai kopi itu terapung termasuk beberapa premis lain di situ.
“Sewaktu dua kali banjir melanda akhir bulan lalu, saya dan isteri mengemas peralatan perniagaan dan menyimpan peralatan seperti pinggan, dapur dan televisyen dan yakin ia selamat kerana kedai ini terapung serta ditambat kemas pada pokok.
“Walaupun kedai ini terapung, tetapi ia terpaksa ditutup bagi mematuhi arahan pihak berkuasa bagi menjamin keselamatan kami dan penduduk di sini,” katanya.
Kedai kopi berkenaan diusahakan sejak 10 tahun dan tong dipasang di bawah lantai premis itu dibeli pada harga RM80 sebuah daripada kedai peralatan pembinaan di bandar Jerantut.