GUA MUSANG: Gara-gara sistem amaran banjir tidak berbunyi seperti kebiasaan, penduduk di Kampung Limau Kasturi di sini berdepan situasi panik dan kelam-kabut mengemas barangan selepas air Sungai Galas mulai melimpah, kelmarin.
Memburukkan lagi keadaan, sistem amaran itu hanya berfungsi selepas paras air sungai melepasi tahap bahaya.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Limau Kasturi, Aluwi Muda berkata, sistem amaran itu dipercayai rosak sehingga tidak berbunyi sejurus selepas air melepasi paras berjaga-jaga.
“Sebelum ini siren mengeluarkan bunyi berjaga-jaga, namun tiada tanda amaran sehingga penduduk kalut membuat persiapan untuk berpindah.
“Siren itu hanya berbunyi ketika paras air Sungai Galas sudah berada di paras bahaya. Air mula melimpah pukul 8 malam, dan sekitar jam 12 tengah hari rumah penduduk sudah ditenggelami banjir,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Mangsa banjir, Che Jah Hussin, 73, mengakui sudah berasa penat apabila kawasan rumah dan jalan perhubungan mereka ditenggelami banjir setiap tahun.
Katanya, rumah di pinggir Sungai Galas dan kawasan rendah kerap kali dilimpahi air banjir sehingga memaksa penduduk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
“Hujan berlarutan sejak kelmarin menyebabkan air sungai cepat naik dan kami terpaksa kembali berpindah ke PPS selepas hampir dua minggu banjir gelombang pertama melanda kampung ini.
“Semalam siren amaran tidak berbunyi dan saya terkandas di kawasan rumah, mujurlah anggota polis datang membawa saya ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi 1,” katanya. – UTUSAN










