JASIN: Seri Nanas Farm mahu menjadikan Melaka antara pengeluar nanas MD2 terbesar di negara ini dalam tempoh tiga tahun.
Pengarah Urusannya, Aminin Abd. Rashid berkata, sasaran itu diletakkan berdasarkan kejayaan tuaian pertama sebanyak 30,150 biji yang ditanam di kawasan seluas satu hektar di Ladang Bukit Senggeh, Selandar dekat sini.
Ladang itu merupakan usaha sama dengan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) yang mula ditanam sejak Ogos tahun lalu dan berjaya menghasilkan kira-kira 60,000 metrik tan nanas MD2 untuk satu musim selama 15 bulan.
“Saya berharap lebih banyak agensi kerajaan negeri menjalinkan kerjasama bagi menjadikan Melaka sebagai pengeluar utama nanas MD2.
“Kita sasarkan dalam tempoh tiga tahun lagi ladang nanas yang diusahakan mampu mencapai 20 hektar dan tidak mustahil Melaka mampu menjadi pengeluar utama berdasarkan permintaan tinggi di pasaran ketika ini,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada
Perasmian Program Tuaitama Nanas MD2 Seri Nanas Farm di Ladang Bukit Senggeh.
Majlis disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam yang juga Presiden DMDI.
Aminin berkata, tanah terbiar boleh diusahakan dengan tanaman tersebut bagi menjana ekonomi penduduk setempat memandangkan pasarannya amat berdaya saing.
Setakat ini pihaknya mengusahakan nanas MD2 di tanah seluas 12 hektar daripada 43 hektar di Juasseh, Negeri Sembilan.
Nanas MD2 mudah ditanam kerana tidak perlu dijaga selalu sebaliknya cukup sekadar meracun dan membaja. – UTUSAN










