KOTA BHARU: Seorang lelaki bertindak menyamun peniaga kedai runcit dipercayai menggunakan sepucuk pistol dalam kejadian di Kampung Permatang Pusu di sini pada 9 Disember lalu.
Dalam kejadian pukul 10 malam itu mangsa berusia 50-an tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, hasil siasatan mendapati semasa kejadian mangsa yang berada di kaunter kedai runcit miliknya telah didatangi seorang lelaki sambil mengacukan objek menyerupai pistol.
Menurutnya, suspek kemudian telah meminta mangsa untuk menyerahkan wang tunai kepadanya.
“Berdasarkan loghat pertuturan suspek dipercayai berumur lingkungan awal 40-an, berbadan kurus dan mempunyai ketinggian lebih kurang 1.5 meter.
“Kita masih menjalankan siasatan lanjut berkaitan kes ini mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Mohd. Rosdi memberitahu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nur Rabiatul Nabilah Rebinor di 09-7752200.
Katanya, terdahulu polis terkesan dengan satu video yang dimuat naik di laman media sosial memaparkan kejadian samun di dalam sebuah kedai runcit.
“Susulan itu, pada 10 Disember sekitar pukul 12 tengah malam, polis telah menerima satu laporan daripada pengadu berhubung kejadian tersebut,” ujarnya.-UTUSAN