JASIN: Penduduk sekitar daerah ini terutama di kawasan Sungai Rambai gelisah ekoran fenomena banjir termenung yang berlarutan sejak minggu lalu.
Keadaan itu menyebabkan sebahagian besar daripada 109 mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Penghulu tidak dapat pulang ke rumah.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, penduduk, Asmah Johari, 49, berkata, rumahnya yang terletak di Kampung Janda Berhias masih ditenggelami air paras buku lali.
Katanya, air bah yang bertakung itu dijangka tidak surut dalam masa terdekat susulan keadaan cuaca yang tidak menentu.
“Saya berpindah ke PPS bersama suami dan anak pada 29 November lalu kerana rumah dimasuki air selepas hujan lebat berterusan sejak tengah malam. Selepas lima hari air masih tidak surut.
“Kerja membersihkan rumah juga tergendala kerana air bertakung. Saya jangkakan akan tinggal lebih lama di PPS kerana hujan yang kerap turun pada sebelah petang menyebabkan air lambat surut,” katanya.
Setakat pukul 12 tengah hari semalam, seramai 160 mangsa daripada 41 keluarga masih ditempatkan di dua PPS iaitu di SK Parit Penghulu dan SK Seri Mendapat manakala enam PPS di Alor Gajah serta Melaka Tengah telah ditutup.