KUALA TERENGGANU: Kunjungan ke Terengganu tidak lengkap sekiranya anda tidak membeli atau menikmati makanan tradisional paling ikonik di negeri ini iaitu keropok lekor.
Lokasi pilihan wajib singgah untuk mendapatkan keropok lekor yang asli dan enak diproses daripada adunan isi ikan serta tepung sagu itu adalah Kampung Losong, di sini.
Keropok lekor yang lebih dikenali ‘kepok getel’ dalam kalangan penduduk Terengganu juga menggambarkan keunikan kulinari Terengganu yang dipercayai bermula daripada masyarakat nelayan di negeri ini bertujuan mengawet ikan segar agar tahan lebih lama.
Permintaan keropok lekor semakin mendapat sambutan apabila makanan tersebut yang berasaskan ikan segar mengandungi protein tinggi yang kaya dengan iodin semula jadi dan antara kebaikannya dapat meningkatkan perkembangan otak serta sumber vitamin D.
Menurut penceritaan masyarakat terdahulu, pada akhir tahun 1960-an, kawasan sekitar perkampungan nelayan di Kampung Tanjung di sini, merupakan antara tempat terawal membuat keropok lekor di Terengganu, sebelum berpindah ke Kampung Losong pada tahun 70-an selepas jeti perikanan berpindah dari Tanjung ke Pulau Kambing.

Selepas itu, perniagaan makanan popular masyarakat di negeri ini semakin berkembang terutama di kawasan berdekatan pusat pendaratan ikan dan perkampungan nelayan di daerah-daerah lain di Kemaman, Dungun, Marang, Setiu dan Besut.
Perusahan keropok lekor kemudian menular di beberapa negeri seperti Kelantan, Pahang dan Johor yang kebanyakannya diusahakan penduduk asal Terengganu yang berpindah ke negeri-negeri berkenaan.
Namun, keropok lekor asli yang lazat dari Terengganu tetap menjadi pilihan utama rakyat Malaysia.
Lebih membanggakan, pasaran keropok lekor semakin meluas sehingga menembusi pasaran luar negara yang diusahakan peniaga dari Terengganu.
PEWARIS PENIAGA KEROPOK LEKOR
Sementara itu, empat beradik perempuan yang mengusahakan perniagaan keropok lekor di sebuah gerai di tepi rumah mereka di Kampung Losong Haji Su di sini, merupakan pewaris peniaga pertama yang menjual keropok lekor di kampung itu pada 1974.
Fatimah Salmah Long, 74, Fatimah, 71, dan kembarnya, Aminah serta Zaharah, 66, masih gigih meneruskan perniagaan yang ditinggalkan bapa mereka, Long Mohd. Amin, walaupun diusahakan secara kecil-kecilan.
Pada masa ini, menurutnya, mereka terpaksa bersaing dengan peniaga-peniaga keropok lekor lain di kampung tersebut yang semakin bertambah bagai ‘cendawan tumbuh selepas hujan’.
Katanya, setakat ini, lebih 20 gerai dan kedai menjual keropok lekor telah dibuka di Kampung Losong dan menarik kunjungan ramai pelancong.
Tambahnya, bagaimanapun, perniagaan keropok lekor yang diusahakannya masih mendapat sambutan terutama pelanggan tetap mereka termasuk dari luar Terengganu.
“Sejak kecil, kami membantu ayah seperti menyiang ikan, mengasingkan isi ikan daripada tulang, menumbuk isi ikan menggunakan lesung dan mencari kayu api untuk merebus keropok lekor,” katanya ketika ditemui di gerai Keropok Losong Adik Beradik, baru-baru ini.
Fatimah Salmah memberitahu, dia dan adik-beradiknya nekad mahu mempertahan perniagaan yang diwarisi bapa mereka, selagi masih mempunyai kudrat.
Menurutnya, mereka turut berbangga perniagaan keropok lekor yang dimulakan oleh bapanya kini popular di Kampung Losong, malah nama kampung itu juga dikenali ramai dari seluruh negara.
“Ayah saya meninggal dunia pada tahun 1987 dan kalau ayah saya masih hidup, dia pasti gembira apabila melihat perniagaan keropok ekor yang dirintisnya dahulu telah menjadikan Kampung Losong terkenal di Malaysia,” ujarnya.
Selain itu, Fatimah Salmah memberitahu, pada masa ini, proses membuat keropok lekor semakin mudah berbanding sebelum ini yang menggunakan lebih banyak tenaga dan masa.
Katanya, dia tidak perlu lagi melakukan kerja-kerja mengasingkan isi ikan daripada tulang dan kemudian ditumbuk dengan menggunakan lesung.
“Saya hanya perlu menempah isi ikan yang telah siap diproses sebelum dicampurkan dengan tepung sagu dan kemudian adunan tersebut digentel serta direbus,” tambahnya.
KEKAL CARA TRADISI
Dalam pada itu, seorang peniaga keropok lekor, Roshaila Abdullah, 39, dari Kampung Tanjung Pantai, Batu Rakit, Kuala Nerus, pula masih mengekalkan cara tradisional merebus kerepok dengan menggunakan kayu api untuk membangkitkan aroma sekali gus memastikan ia lebih sedap dimakan.
Menurutnya, pada masa ini, hanya dia seorang peniaga makanan tradisional itu yang masih mempertahan tradisi tersebut untuk mengelakkan ia hilang ditelan zaman.
Katanya, dia akan terus mengekalkan warisan merebus keropok lekor menggunakan kayu api yang diwarisi dariarwah ibu bapanya sebelum ini.
“Saya merebus keropok lekor menggunakan kayu api untuk mengekalkan rasa asli makanan tradisi itu. Mereka yang makan keropok lekor tersebut akan berpuas hati kerana lebih sedap berbanding dimasak menggunakan dapur gas,” katanya.
Roshaila memberitahu, pada masa ini, dia menggunakan dua dapur kayu api untuk merebus keropok lekor di kedainya.
“Saya menggunakan kira-kira 200 hingga 400 kilogram isi ikan untuk dibuat keropok lekor bagi memenuhi permintaan pelanggan setiap hari,” katanya.
KEROPOK LEKOR TEMBUSI PASARAN LUAR NEGARA
Pasaran keropok lekor dari Terengganu semakin berkembang apabila berjaya menembusi pasaran ke luar negara dan mendapat sambutan menggalakkan daripada rakyat di negara terlibat.
Antara syarikat dari Terengganu yang telah memasarkan keropok lekor ke luar negara ialah Syarikat Keropok Lekor Tokku Sdn. Bhd.
Pengarah Komunikasi Korporatnya, Mohd. Almarzuki Said berkata, syarikat itu berbangga apabila dapat memasarkan produk keropok lekor secara komersial ke beberapa buah negara seperti Brunei, Arab Saudi, China dan Jepun bermula tahun ini.

Katanya, syarikat itu juga merancang terus mengembangkan sayap perniagaan keropok lekor ke United Kingdom dan beberapa buah negara lagi untuk memperkenalkan lagi makanan tradisional tersebut.
“Pada tahun ini, Keropok Lekor Tokku telah berjaya memasarkan makanan tersebut sebanyak RM10 juta di luar negara dan sasaran pada 2025 pula mencecah RM25 juta,” ujarnya.
Beliau berkata, syarikat itu juga mempunyai tiga buah kilang memproses ikan iaitu dua buah di Terengganu dan sebuah di Kuantan, Pahang yang keseluruhannya dapat mengeluarkan isi ikan segar kira-kira 100 tan metrik sebulan.
Selain keropok lekor, katanya, syarikat itu juga mengeluarkan produk-produk makanan berasaskan ikan seperti keropok tako lekor, crispy lekor nugget dan spicy gochujang lekor ball.
“Pemilik Keropok Lekor Tokku, Wan Mohd Sofian Mohd., sememangnya berhasrat mendaftar syarikat itu tersenarai di Bursa Malaysia selepas berjaya memasarkan keropok lekor ke mata dunia,” ujarnya.










