WASHINGTON: Sembilan warga Palestin-Amerika memfailkan saman terhadap kerajaan Washington kerana gagal menyelamatkan mereka dan ahli keluarga yang terperangkap dalam perang Israel di Gaza.
Tuntutan itu mendakwa, Jabatan Negara mendiskriminasi rakyat Amerika berketurunan Palestin dengan membiarkan mereka terperangkap di zon perang, berbeza dengan usaha menyelamatkan rakyat Amerika lain.
Tuntutan yang diumumkan oleh kumpulan advokasi Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR) dan peguam Maria Kari, difailkan di Mahkamah Daerah AS untuk Daerah Utara Illinois, kelmarin.
Ia mendakwa, plaintif tidak menerima layanan sama rata di bawah Perlembagaan AS, apabila Kerajaan Persekutuan gagal memberikan usaha pemindahan yang biasanya ditawarkan kepada rakyat Amerika bukan Palestin.
Tuntutan itu merujuk pemindahan oleh kerajaan AS dari zon konflik seperti di Afghanistan, Lubnan dan Sudan.
Saman tersebut menamakan Presiden AS, Joe Biden, Setiausaha Negara, Anthony Blinken dan Setiausaha Pertahanan, Lloyd Austin sebagai defendan.
Ia adalah tuntutan saman kedua terhadap kerajaan AS minggu ini, selepas keluarga Palestin menyaman Jabatan Negara pada Selasa lalu berhubung sokongan Washington kepada tentera Israel di Gaza.
Jurucakap Jabatan Negara AS enggan mengulas mengenai litigasi yang sedang berjalan, sebaliknya mendakwa keselamatan dan perlindungan rakyat Amerika di seluruh dunia adalah keutamaan.
Perang Israel menyebabkan lebih 45,000 kematian dan menyebabkan hampir keseluruhan 2.3 juta penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal serta mencetuskan krisis kebuluran.– REUTERS











