Kekalkan Pontian sebagai hab pengeluaran kerang - Utusan Malaysia

Kekalkan Pontian sebagai hab pengeluaran kerang

KHAIRUL Enjah menunjukkan Pengkalan Nelayan Ayer Baloi yang merupakan antara lokasi pengeluaran kerang utama di daerah Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Jabatan Perikanan ne­­geri diminta membantu men­­jadikan daerah ini kekal se­bagai hab pengeluaran ke­rang supaya tidak diganggu oleh pihak tidak bertanggungjawab yang didakwa melakukan pencerobohan.

Pengerusi MyKomuniti Perikanan (MyKP) Pangkalan Jeti Nelayan Ayer Baloi, Dawik Mohamad Ali berkata, adalah merugikan sekiranya usaha itu tidak dapat direalisasikan selepas lima tahun dilancarkan.

Katanya, terdapat lima pangkalan nelayan di daerah ini yang terlibat dalam pengeluaran kerang iaitu Pangkalan Nelayan Ayer Baloi, Pulai Sebatang, Tampok, Sanglang dan Permas dengan setiap pangkalan diberikan plot atau tapak pembiakan kerang yang melibatkan kawasan seluas 270 hektar bagi setiap pangkalan berkenaan.

“Setiap lot mempunyai buku hijau atau geran pemilikan supaya tidak berlaku kes pencerobohan dan sebagainya. Pihak yang ingin mempunyai lot sendiri, boleh memohon menerusi Pejabat Perikanan supaya tiada lagi kejadian yang tidak sepatutnya berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dawik memberitahu, pen­cerobohan kawasan pembiakan kerang boleh menyebabkan industri ternakan kerang di daerah ini mengalami kepupusan kerana ketiadaan benih.

“Kita nelayan sama-sama cari makan, mereka yang tidak diberikan tempat pembiakan kerang, tidak harus ada iri hati dan tidak puas hati, perkara tersebut boleh dirujuk kepada pihak berkuasa.

“Kerang dari laut Pontian sebenarnya yang terbaik dan pernah mencecah harga sehingga RM30 sekilogram dan nelayan juga memperolehi pendapatan antara RM800 hingga RM1,000 sehari,” jelasnya.

Nelayan, Khairul Enjah, 50, berpendapat, semua pihak perlu memelihara pengeluaran kerang supaya orang ramai dapat mendapatkan bekalan termasuk peniaga makanan.

“Jika tiada benih kerang, bagaimana untuk memperoleh kerang bagi keperluan penduduk tempatan, situasi ini yang perlu difahami oleh semua pihak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN