PETALING JAYA: Tiga bekas anggota Jemaah Menteri ketika pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan, keputusan untuk tidak meneruskan semakan dan tafsiran Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai kedaulatan Batu Puteh dibuat sendiri oleh bekas Perdana Menteri itu tanpa merujuk kepada Kabinet.
Perkara itu ditegaskan oleh Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Datuk Seri Mohamad Sabu, dan Anthony Loke Siew Fook dalam kenyataan bersama yang menyatakan Dr. Mahathir sudah memutuskan perkara itu melalui surat bertarikh 21 Mei 2018 kepada Peguam Cara Negara.
Ketika itu, Dr. Wan Azizah merupakan Timbalan Perdana Menteri, sementara Mohamad adalah Menteri Pertahanan dan Anthony pula Menteri Pengangkutan.
“Keputusan itu dibuat secara bertulis oleh Dr. Mahathir sendiri tanpa merujuk kepada Jemaah Menteri.
“Malah, keputusan tersebut turut dimaklumkan kepada pihak Singapura pada pagi 23 Mei 2018 sebelum mesyuarat pertama Kabinet berlangsung,” kata ketiga-tiga pemimpin itu dalam kenyataan tersebut.
Dalam kenyataan itu juga, ketiga-tiga pemimpin tersebut menyatakan, keputusan tersebut hanya dimaklumkan kepada Jemaah Menteri dua hari kemudian dalam mesyuarat Kabinet pertama pada 23 Mei 2018 tetapi tidak dibincangkan untuk mendapat persetujuan bersama.
“Ia hanyalah ‘pemakluman’ di bawah agenda ‘hal-hal lain’ dan bukannya perbincangan untuk menentukan keputusan.
“Oleh itu, tidak timbul isu sama ada sesiapa membantah atau menyokong kerana ruang untuk membuat keputusan telah pun hilang apabila ia dibuat secara bertulis,” katanya.
Mereka turut meminta Dr. Mahathir agar bertanggungjawab sepenuhnya atas keputusan tersebut dan tidak meletakkan kesalahan kepada anggota Kabinet yang tidak terlibat.
“Sebagai negarawan, Dr. Mahathir sepatutnya bertanggungjawab sepenuhnya di atas keputusan ini dan bukannya memilih untuk meletakkannya di bahu mereka yang tidak terlibat,” jelasnya.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan dakwaan Dr. Mahathir bahawa keputusan untuk tidak meneruskan semakan dan tafsiran ICJ mengenai Batu Puteh adalah keputusan kolektif Jemaah Menteri yang turut dihadiri Dr. Wan Azizah, Mohamad dan Anthony.
Dr. Mahathir sebelum ini menyatakan mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju dengan keputusan itu, namun kenyataan terbaharu ketiga-tiga pemimpin parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) itu menimbulkan persoalan mengenai ketelusan dan proses sebenar dalam pengendalian isu tersebut.
Ketiga-tiga bekas menteri juga yakin anggota Kabinet yang hadir dalam mesyuarat pada 23 Mei 2018 boleh mengesahkan fakta mengenai perkara itu.
Dalam pada itu, mengulas mengenai isu berkenaan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Dr. Mahathir mengaitkan beberapa nama besar dalam keputusan berkaitan Batu Puteh diibaratkan seperti ‘mengheret orang lain lemas bersama’.
Katanya, sepatutnya bekas Perdana Menteri itu merujuk fakta sebenar dikeluarkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Beliau juga mengesahkan dirinya tiada dalam senarai Kabinet Dr. Mahathir pada 2018 ketika keputusan itu dibuat biarpun negarawan itu memaklumkan ia keputusan bersama Jemaah Menteri.
“Jadi percubaan dia (Dr. Mahathir) untuk heret (mengaitkan semua individu dalam Kabinetnya) ini macam orang lemas.
“Bila orang nak lemas, kayu buruk pun dia capai. Begitulah keadaannya,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Saifuddin berkata, beliau mengesahkan dirinya adalah kumpulan menteri ketiga yang dilantik menganggotai Kabinet Dr. Mahathir pada 2018.
“Saya batch (kumpulan) ketiga lantikan. Batch pertama Dr Mahathir lantik empat orang, batch kedua 10 orang dan saya batch ketiga.
“Masa saya masuk Kabinet, benda (keputusan Batu Puteh) itu sudah ada keputusan. Saya masuk hanya beberapa bulan lepas perkara itu sudah dibuat keputusan,” katanya.









