ARAU: Kerjasama Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di dalam Perikatan Nasional (PN) disifatkan makin rapuh serta goyah sekali gus bakal memberi kesan besar kepada masa depan gabungan berkenaan yang diibarat retak menanti belah.
Malah, peletakan jawatan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mohktar sebagai Bendahari Agung PN seolah-olah memberi gambaran protes Pas selepas Bersatu dilihat terus menguasai jawatan-jawatan penting di dalam gabungan berkenaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemerhati politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Rusdi Omar berkata, Bersatu perlu sedar dengan realiti semasa bahawa Pas lebih dominan yang sepatutnya diberikan keutamaan mengisi jawatan penting di dalam PN.
Ujarnya, Bersatu juga perlu lebih berkompromi dengan Pas bukannya menguasai kebanyakkan jawatan-jawatan penting di dalam PN sehingga memperlihatkan Pas sebagai tidak berfungsi.
Katanya, apabila Ahmad Samsuri meletak jawatan sebagai Bendahari Agung PN ia memberi gambaran seolah-olah isyarat protes Pas terhadap sekutu mereka itu yang perlu diberikan perhatian serius oleh Bersatu jika ingin menyelamatkan gabungan berkenaan.
“Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN sekurang-kurangnya perlu memberi jawatan penting seperti Setiausaha Agung PN kepada Pas. Ini nampak sangat apabila jawatan-jawatan penting semua dikuasai Bersatu.
“Saya lihat situasi ini mampu memberi kesan kepada PN yang dilihat retak menanti belah. Apa-apa pun boleh berlaku apabila melihat gabungan tersebut semakin rapuh,” katanya.
Majlis Tertinggi PN yang bermesyuarat pada 9 Disember lalu mengesahkan pelantikan enam jawatan penting yang kesemuanya kekal menjadi milik Bersatu.
Ia melibatkan pelantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Setiausaha Agung PN manakala jawatan Ketua Penerangan pula diisi Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu serta Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai Ketua Wanita.
Bersatu juga menamakan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Timbalan Pengerusi PN manakala Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee sebagai anggota Majlis Tertinggi (MT) PN selaras dengan keputusan pemilihan parti itu baru-baru ini.
Tambah Rusdi, melihat perkembangan semasa tidak mustahil untuk Pas bersama kerajaan Perpaduan memandangkan Menteri Besar di negeri-negeri dikuasai parti itu juga mempunyai hubungan baik dengan pusat.
“Di dalam politik ini, apa-apa pun boleh berlaku dan tidak mustahil selepas ini, Pas bersama kerajaan Perpaduan,” katanya.
Seorang lagi pemerhati politik dari Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Izmer Yusof berkata, peletakan jawatan Ahmad Samsuri tanpa sebarang alasan setakat ini mengundang 1,001 persoalan khususnya membabitkan masa depan PN.
Katanya, tindakan Ahmad Samsuri itu juga masih belum diketahui sama ada atas kapasiti individu atau rancangan kepemimpinan Pas pusat sebagai tanda protes terhadap Bersatu.
“Ia masih kekal menjadi spekulasi. Bersatu menguasai banyak kedudukan penting di dalam PN termasuk Ketua Pembangkang juga dari Bersatu meskipun Pas adalah paling dominan dan mempunyai lebih pengalaman.
“Namun, kita tidak pasti sama ada Pas tidak berpuas hati atau sebaliknya memandangkan sejak awal Pas tidak pernah mempersoalkan kedudukan tersebut.
“Apabila Ahmad Samsuri meletak jawatan tanpa sebab ia akan memberi satu implikasi tidak baik buat PN dan hala tuju kerjasama Pas dan Bersatu selepas ini,” katanya.
Seterusnya beliau berkata, bagi memastikan PN kekal relevan dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), mereka perlu mencipta naratif baharu yang lebih segar bagi mengembalikan sokongan rakyat.
“Jika tidak, adalah lebih baik Pas bergerak solo dan mereka juga mempunyai potensi untuk mengekalkan empat negeri yang dikuasai ketika ini.
“Dominasi Bersatu melebihi Pas, kelesuan naratif pembangkang dan terbaharu, Ahmad Samsuri meletak jawatan boleh menjadi bara dalaman yang membakar semangat PN sebagai sebuah gabungan. Dan jika Pas keluar bergerak solo, sudah pasti Bersatu bakal berkubur,” katanya. – UTUSAN










