KUALA LUMPUR: Isu pembaharuan dasar melibatkan penyediaan sokongan mental lebih mudah diakses antara persoalan yang bakal dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat persidangan Dewan Rakyat, perkara tersebut terkandung dalam sesi pertanyaan bagi Jawab jawab lisan yang akan diajukan oleh Tan Kar Hing (PH-Gopeng) kepada Menteri Kesihatan.
Pertanyaan tersebut melihat kepada dasar yang boleh dilakukan kerajaan bagi membantu mereka yang bekerja dalam persekitaran tekanan tinggi, seperti kakitangan kesihatan atau kadet pertahanan awam.
Dalam sesi sama, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) minta Menteri Pertahanan menyatakan jangkaan garis waktu kapal LCS 1 akan mula menjalani ujian pengoperasian dan jangkaan kapal LCS 2 akan turun ke permukaan air
Datuk Verdon Bahanda (Bebas-Kudat) meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan perancangan kementerian memperkasakan industri pengeluaran makanan tanaman padi di Parlimen Kudat khususnya di daerah Pitas.
Ini kerana, kawasan tersebut merupakan kawasan padi keempat terbesar di Sabah melibatkan keluasan sebanyak 1,400 Hektar dan cadangan jelapang padi melibatkan kawasan 9,980 hektar namun tidak mempunyai kemudahan saliran.
Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-15 akan berlangsung hingga 12 Disember ini. – UTUSAN











