GAZA: Tentera Israel menggesa beberapa kawasan di selatan Gaza untuk dipindahkan, memberi amaran pejuang Palestin melancarkan roket dari kawasan tersebut.
Ia adalah gesaan pertama dalam beberapa minggu yang berkaitan dengan selatan wilayah Palestin, selepas tentera memberi tumpuan kepada utara pada Oktober lalu.
“Organisasi pengganas sekali lagi melancarkan roket ke arah negara Israel dari kawasan anda,” dakwa jurucakap tentera, Avichay Adraee dalam hantaran di platform X, yang ditujukan kepada penduduk Khan Younis.
Susulan itu, Adraee menggesa penduduk meninggalkan kawasan tersebut dan berpindah ke zon kemanusiaan, sambil berkongsi peta kawasan dimaksudkan.
Terdahulu, tentera Israel dalam kenyataan pada Isnin mendakwa pertahanan udara rejim memintas satu peluru yang melintasi wilayahnya dari Khan Younis.
Sayap bersenjata Hamas kemudian mengaku bertanggungjawab, dengan mengesahkan pelancaran roket ke arah selatan Israel.
Israel memusnahkan sebahagian besar kawasan Gaza sejak melancarkan serangan balas pada 7 Oktober tahun lepas.
Serangan itu mengakibatkan sekurang-kurangnya 44,466 rakyat Palestin, majoriti orang awam, terbunuh dalam kempen ketenteraan Israel di Gaza.– AFP










