SANAA: Kumpulan Houthi mendakwa melancarkan serangan dron ke kawasan tengah Israel di Tel Aviv, dalam satu operasi ketenteraan khusus sebagai sokongan kepada rakyat Palestin di Gaza.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, kumpulan itu mendakwa serangan tersebut menyasarkan ‘satu lokasi sensitif milik musuh Israel’.
Tentera Israel dalam kenyataan balas mengesahkan sebuah dron menyerang sebuah bangunan di bandar Yavne.
Difahamkan, sistem pertahanan udara Israel gagal mengesan serangan itu dan siasatan mengenai kegagalan tersebut sedang dijalankan.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden berkenaan, namun beberapa unit kediaman di bangunan tersebut mengalami kerosakan, menurut laporan media Israel.
Kumpulan Houthi menyifatkan serangan itu sebagai tindak balas terhadap pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Israel kini melancarkan serangan kejam di wilayah itu, yang sudah berlangsung selama lebih setahun.
“Kami akan terus melancarkan serangan ke atas Israel sehingga perang di Gaza dihentikan,” tegas kumpulan Houthi dalam kenyataan mereka.
Kumpulan itu juga memberi amaran akan mengambil tindakan lebih agresif sekiranya Israel menyerang wilayah Yemen.
“Angkatan Tentera Yemen (kumpulan Houthi) menegaskan akan menentang sebarang pencerobohan Israel ke atas negara kami dengan operasi ketenteraan yang lebih khusus. Sokongan kami kepada rakyat Palestin tidak akan berhenti sehingga pengepungan di Gaza dihentikan sepenuhnya,” kata kenyataan itu. -AGENSI










