KLUANG: Sebuah keluarga di Kampung Palembang Baru, dekat sini mengambil pendekatan tidak membeli sebarang perabot yang mudah rosak jika terkena air dan hanya menggunakan kerusi meja daripada plastik atau besi sejak 18 tahun lalu.
Tindakan itu dilakukan kerana tidak sanggup menanggung kerugian besar apabila perabot yang dibeli terpaksa dibuang setelah terendam dalam air dalam tempoh lama setiap kali berlaku banjir.
Menurut Rosidin Kanar, 56, dengan menggunakan perabot besi dan plastik, mereka tiga beranak hanya memberi tumpuan terhadap kerja-kerja memindahkan peralatan elektrik ke tempat lebih tinggi sama ada di atas rak atau meja agar tidak ditenggelami banjir sambil berharap air tidak melepasi paras pinggang memasuki rumah.
Katanya, kejadian banjir yang berlaku hampir setiap tahun di kampung itu banyak memberikan mereka pengajaran untuk melakukan tindakan perlu apabila tiba musim Monsun Timur Laut yang kebiasaannya pada bulan Disember hingga Mac.
“Semua peralatan seperti kerusi, meja makan, katil dalam rumah saya diperbuat daripada besi atau plastik dan ia menyebabkan kami hanya perlu membawa dokumen serta barang-barang penting ketika berpindah.
“Kali terakhir rumah saya ditenggelami air hingga paras siling pada tahun lalu dan awal tahun ini hingga paras kepala,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, Ketua Kampung Kawasan Kampung Palembang Baru, Ismail Sajidon yang meninjau kawasan terlibat berkata, semua maklumat dan arahan bersiap-siaga menghadapi banjir sudah dimaklumkan kepada penduduk menerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung menggunakan aplikasi WhatsApp kampung berkenaan.
Katanya, penduduk sudah bersedia dengan kemungkinan berlaku banjir, malah berdasarkan tinjauannya, persiapan awal telah dilakukan.
“Penduduk di Kampung Palembang Baru dan Lama juga sudah dimaklumkan lokasi pusat pemindahan sementara (PPS) yang akan dibuka sekiranya berlaku banjir melanda kediaman mereka,” katanya.