BUKIT MERTAJAM: Kewujudan bangunan komersial terbiar atau dibiar terbengkalai di sebalik pembangunan projek-projek baharu di Pulau Pinang khususnya di Seberang Perai ketika ini dilihat seperti sudah ‘sebati’ di daerah itu.
Sekurang-kurangnya lima buah kompleks atau bangunan komersial didapati terbiar atau terbengkalai khususnya di sekitar Seberang Perai Tengah (SPT), memberikan imej buruk dalam sebuah negeri maju.
Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati, keadaan itu belum mengambil kira lokasi kompleks atau bangunan terbiar yang sama di empat lagi daerah iaitu Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Selatan (SPS), Timur Laut dan Barat Daya.
Difahamkan, ada antara bangunan berkenaan dibiarkan tanpa ada apa-apa tindakan melebihi 10 tahun sehingga menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penduduk, sampai bila keadaan itu akan terus ‘menghiasi’ bandar tumpuan pelancong itu.
Rata-rata penduduk yang ditemui mengakui, keadaan itu boleh mencacatkan pemandangan sekitar terutama dalam kalangan pelancong atau mereka yang pertama kali berkunjung ke negeri ini.
Bagi seorang penduduk, Ismail Hassan, 51, kompleks atau bangunan komersial yang terbiar khususnya di Seberang Perai bukan sahaja boleh ‘menyakitkan’ pandangan, malah boleh mengundang bahaya.
Katanya, ada lokasi tersebut pernah menjadi lokasi pemburu hantu atau aktiviti paranormal selepas ia terbiar dan tidak lagi digunakan.
Menurut Ismail, keadaan di situ dipenuhi lalang dan ditumbuhi semak sehingga mengundang kehadiran haiwan berbisa seperti ular, kala jengking dan lain-lain.
“Ada juga tempat jadi ‘port’ buang sampah. Saya khuatir jika tiada apa-apa perancangan, kompleks itu akan menjadi tumpuan untuk kegiatan lain yang tidak berfaedah pula,” katanya yang menetap di Bukit Mertajam sejak lebih 30 tahun lalu.

Seorang lagi penduduk, Khairul Amri Abu Kasim, 36, sependapat dan berharap langkah-langkah pembersihan atau baik pulih diambil segera bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku.
Khairul Amri berkata, dia bimbang kawasan terbabit akan menjadi ‘port’ atau lokasi penagih dadah serta aktiviti maksiat jika terus dibiar tanpa sebarang seliaan.
“Sekarang mungkin belum ada. Tapi ‘kedepan-kedepan’ (akan datang) mungkin ada jika tak ada apa-apa tindakan diambil,” kata pekerja swasta itu.
Bagi Salmiza Mohd. Hasan, 32, dia sering melalui lokasi kompleks atau bangunan terbiar itu ketika dalam perjalanan ke tempat kerja sejak lima tahun lalu.
Katanya, sepanjang tempoh itu, dia tidak melihat sebarang perubahan yang berlaku.
Jelas wanita tersebut, perubahan yang ketara ialah lalang tumbuh semakin tinggi dan warna pada dinding bangunan semakin kusam dan dipenuhi lumut serta tidak menawarkan pemandangan yang menarik.
“Semasa bersekolah dulu, tempat-tempat itu terutamanya ‘shopping complex’ (kompleks beli belah) memang jadi tempat saya dan kawan-kawan melepak.
“Jadi, apabila sesekali melalui kawasan yang sama, memang akan teringat kenangan lama.
“Tapi itulah, jika terus dibiarkan usang, terbengkalai dan sebagainya, kita akan menerima persepsi negatif daripada orang luar atau pelancong asing pula.
“Silap-silap, mereka jadikan lokasi ini sebagai tarikan untuk bergambar pula,” katanya yang berasal dari Penaga, Kepala Batas.
Bangunan bertukar pemilik
Dalam pada itu, tinjauan Mingguan Malaysia mendapati, sebahagian daripada kompleks atau bangunan terbiar itu sudah bertukar pemilik ketika ini.
Namun, belum ada sebarang projek pembangunan, ubah suai atau naik taraf dilakukan buat masa ini.
Bagaimanapun, sebagai langkah berjaga-jaga, beberapa syarikat atau pemilik baharu premis terbabit dikatakan telah mengupah pengawal keselamatan untuk memastikan tiada sebarang pencerobohan berlaku di kawasan mereka sementara menunggu projek berjalan.
Difahamkan, antara punca kompleks atau bangunan tersebut dibiarkan terbengkalai termasuk faktor ketidaksesuaian lokasi, pengambilalihan semula tanah oleh pemilik dan sebagainya.
Ada juga pemilik yang telah bertukar lokasi ke tempat lain, malah, ada yang ‘‘gulung tikar’ disebabkan bisnes tidak menjadi dan lain-lain faktor.
Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Baderul Amin Abdul Hamid ketika dihubungi memaklumkan, ketika ini, terdapat sekurang-kurangnya enam bangunan komersial yang masih terbiar atau terbengkalai khususnya di Seberang Perai.
Katanya, lima daripada enam bangunan tersebut terletak di Bukit Mertajam iaitu Plaza Utama, Kompleks Perniagaan Maju, Plaza Bukit Mertajam, Plaza Impian dan Bazar Perdana di Bandar Perda manakala satu lagi lokasi ialah Megamall di Bandar Perai Jaya.
“Buat masa ini, Majlis (MBSP) tiada sebarang perancangan untuk membaik pulih kerana premis dan bangunan tersebut adalah pemilikan swasta (sepenuhnya),” jelas beliau. – MINGGUAN

INFO
====
PLAZA UTAMA.
-Plaza Utama pernah menjadi antara pusat beli belah terkemuka yang turut menempatkan hotel di Bukit Mertajam sebelum ini, namun, ia ditinggalkan usang sejak hampir 30 tahun lalu.
-Difahamkan, antara punca bangunan komersial itu ditutup ialah krisis kewangan yang dihadapi oleh pemiliknya selain bangunan tersebut tidak mendapat kelulusan untuk terus beroperasi.
-Difahamkan juga, pernah berlaku satu insiden ‘boiler’ meletup di situ sehingga meragut satu nyawa.
-Cuba dijual oleh pemiliknya sebelum ini iaitu pada 2010, namun, tidak ada pihak yang sanggup membeli.
KOMPLEKS PERNIAGAAN MAJU
-Kompleks Perniagaan Maju juga di Bukit Mertajam menempatkan pusat beli belah terkenal, City Parade-Mayang Hyperstore dan pernah dikenali sebagai Pasaraya Loowin dan beberapa kali bertukar nama.
-Dibina pada 80-an, tetapi menjadi bangunan ‘tinggal’ sejak 1998.
-Tempat tumpuan penggemar aktiviti paranormal.
PLAZA IMPIAN
-Plaza Impian atau dikenali sebagai Asas Plaza dilaporkan siap dibina pada tahun 2009 di kawasan Permatang Tinggi, Bukit Mertajam, namun, dikatakan tidak pernah beroperasi langsung sehingga ke hari ini.
BAZAR PERDANA
-Bangunan yang menempatkan pusat perniagaan termasuk pasar awam itu siap dibina pada 2004, namun pernah terbengkalai dan terbiar selama hampir 14 tahun.
-Ada cadangan untuk menjadikannya Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Seberang Perai. Bagaimanapun, cadangan itu tidak menjadi kenyataan sehingga hari ini.
-Sebahagian penyewa dan pembeli lot juga mendakwa ditipu oleh pihak pemaju ketika itu apabila terpaksa membayar ansuran pinjaman bulanan dengan bank walaupun tidak dapat beroperasi.
-Terdapat sebuah pusat beli belah bertentangan bazar ini, namun, ia juga dibiarkan terbengkalai selepas pemiliknya berpindah ke lokasi baharu iaitu di Alma, Bukit Mertajam.
MEGAMALL
-Beroperasi sejak penghujung 90-an di Bandar Perai Jaya, Butterworth.
-Pernah berdepan isu tanah mendap sebelum ini, namun, pusat beli belah ini masih mampu bertahan dan beroperasi sehingga ke hari ini. – MINGGUAN










