WASHINGTON: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Jimmy Carter, meninggal dunia di kediamannya di Plains, Georgia, kelmarin pada usia 100 tahun.
Presiden Joe Biden mengetuai penghormatan terhadap Carter semalam, dengan sejumlah pemimpin dan bekas pemimpin AS turut menyampaikan takziah atas kematian penerima Hadiah Nobel Keamanan itu.
Biden turut mengisytiharkan 9 Januari 2025 sebagai Hari Berkabung Nasional bagi memperingati pemergian Carter, menurut kenyataan Rumah Putih.
“Amerika dan dunia kehilangan seorang pemimpin, negarawan dan dermawan yang luar biasa,” kata Biden.
Sementara itu, Presiden terpilih AS, Donald Trump menyatakan bahawa rakyat Amerika terhutang budi kepada Carter.
“Cabaran yang dihadapi Carter sebagai presiden berlaku pada masa yang penting bagi negara kita, dan beliau melakukan segalanya untuk memperbaiki kehidupan semua rakyat Amerika,” katanya di media sosial.
Selain itu, beberapa bekas Presiden AS lain termasuk Bill Clinton, George W. Bush dan Barack Obama turut memuji kepemimpinan Carter sepanjang mentadbir AS.
Carter yang dilahirkan pada 1 Oktober 1924 di Plains, Georgia, memulakan kerjaya sebagai pegawai tentera laut sebelum meneruskan perniagaan keluarga sebagai petani kacang tanah.
Beliau, yang merupakan pemimpin Parti Demokrat, dilantik sebagai Presiden ke-39 Amerika Syarikat (AS) pada Januari 1977 selepas mengalahkan penyandangnya, Gerald Ford, dari parti Republikan dalam pilihan raya Presiden 1976.
Walaupun kepemimpinannya di Rumah Putih dicemari krisis ekonomi dan insiden tebusan di Iran, beliau dikenang atas kejayaannya dalam menganjurkan Perjanjian Camp David 1978 yang membawa perdamaian antara Israel dan Mesir.
Carter gagal mempertahankan jawatannya dalam pilihan raya 1980 apabila beliau tewas kepada calon Republikan, Ronald Reagan.
Selepas meninggalkan jawatan presiden, Carter terus dikenali sebagai seorang kemanusiaan yang gigih memperjuangkan hak asasi manusia dan pembangunan sosial.
Penghormatan terakhir untuk Carter akan diadakan di Atlanta dan Washington sebelum pengebumian persendirian di Plains, menurut Carter Center. -AGENSI











