AS batal ganjaran RM45 juta tangkap pemimpin baharu Syria

AS batal ganjaran RM45 juta tangkap pemimpin baharu Syria

PENYOKONG menyambut pemimpin de facto Syria, Ahmed al-Sharaa selepas penggulingan rejim Bashar al-Assad, di Masjid Umayyah di Damsyik, 8 Disember lepas.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAMSYIK: Amerika Syarikat (AS) membatalkan ganjaran AS$10 juta (RM45 juta) untuk penahanan pemimpin de facto Syria, Ahmed al-Sharaa, selepas pertemuan antara diplomat kanan dan wakil dari Hayat Tahrir al-Sham (HTS) di Damsyik.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penolong Setiausaha Negara, Barbara Leaf berkata, perbincangan dengan Sharaa adalah ‘sangat produktif’ dan beliau dilihat sebagai seorang yang pragmatik.

Delegasi AS tiba di Damsyik selepas HTS menggulingkan rejim Bashar al-Assad kurang daripada dua minggu lalu.

Bagaimanapun, Washington masih mengklasifikasikan HTS sebagai kumpulan pengganas.

Jurucakap Jabatan Negara mengesahkan perbincangan diplomat tertumpu mengenai ‘prinsip peralihan’ yang disokong AS, peristiwa serantau dan keperluan untuk memerangi IS.

Katanya, pegawai kini mencari maklumat lanjut mengenai warga Amerika yang hilang di bawah rejim Assad, termasuk wartawan Austin Tice, dipercayai diculik di Damsyik pada 2012, dan kehilangan ahli psikoterapi Majd Kamalmaz sejak 2017.

Jurucakap kedutaan AS sebelum ini mendakwa, sidang akhbar melibatkan Leaf dibatalkan kerana kebimbangan keselamatan.

Namun, semasa taklimat berikutnya, Leaf menafikan perkara itu dan menegaskan ‘perayaan jalanan’ adalah punca kelewatan.

Lawatan itu merupakan penampilan diplomatik rasmi pertama Amerika di Damsyik dalam lebih sedekad.

Ini sekali gus menunjukkan perubahan besar di Syria selepas kejatuhan Assad, serta usaha pantas AS, Eropah dan negara Arab untuk mempengaruhi tadbir urus baharu di negara itu.

Lawatan itu berlaku selepas kunjungan delegasi dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan negara lain, termasuk United Kingdom (UK), Perancis dan Jerman.- BBC

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN