Angkasawan China pecah rekod 'jalan' sembilan jam di angkasa

Angkasawan China pecah rekod ‘jalan’ sembilan jam di angkasa

ANGKASAWAN Cai Xuzhe (kanan), Song Lingdong (tengah) dan Wang Haoze (kiri) semasa upacara berlepas menjelang pelancaran misi angkasa Shenzhou-19 di Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan, barat laut China, 30 Oktober lepas.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Dua angkasawan China berjaya melengkapkan rekod dunia pengembaraan di angkasa selama lebih sembilan jam, menurut Agensi Angkasa Berawak China (CMSA).

Kejayaan itu menandakan satu lagi pencapaian penting dalam program angkasa lepas Beijing yang semakin berkembang pesat.

Rekod baharu itu dilakukan oleh Cai Xuzhe dan Song Lingdong di luar stesen angkasa Tiangong dalam orbit rendah Bumi pada 17 Disember lalu.

Pencapaian itu sekurang-kurangnya empat minit lebih lama daripada rekod terakhir dicatatkan angkasawan Pentadbiran Aeronatik dan Angkasa Kebangsaan (NASA), James Voss dan Susan Helms pada 2001.

Kedua-dua angkasawan dari misi Shenzhou-19 itu mengenakan sut angkasa Feitian untuk menjalankan pelbagai tugas di bahagian luar stesen, termasuk pemasangan peranti perlindungan serpihan angkasa, kata CMSA.

“Mereka berjaya menyelesaikan semua tugas yang dirancang dan sangat teruja mengenainya,” kata kakitangan Pusat Penyelidikan dan Latihan Angkasawan China, Wu Hao kepada penyiar China Central Television.

Bekas Kesatuan Soviet pada 1965 menjadi negara pertama yang melakukan aktiviti berjalan di angkasa.

Sejak itu, Russia dan Amerika Syarikat menjalankan ratusan misi sama, terutama di luar Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) untuk tugas seperti pemasangan panel solar dan penyelidikan.

Pengembaraan angkasa lepas pertama oleh angkasawan China berlaku pada 2008.

Pencapaian luar angkasa China minggu ini berlaku di tengah deretan kejayaan kosmik, yang mengukuhkan kedudukan Beijing dalam persaingannya dengan AS.

China mendaratkan rover pertamanya di Marikh pada 2021 dan awal tahun ini menjadi negara pertama yang mengambil sampel batuan dari bahagian bahaya di Bulan melalui misi Chang’e-6.

Beijing menyasarkan 2030 untuk mendaratkan angkasawan pertamanya di Bulan untuk menjadi negara kedua selepas AS yang meletakkan manusia di sana.– REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×